MESKIPUN berdepan ketidaktentuan berikutan hukuman FIFA, peluang negara untuk layak ke Piala Asia akan datang masih cerah memandangkan Harimau Malaya berada di tangga teratas Kumpulan F.
Rekod 100 peratus dicatatkan selepas lima perlawanan memberi ruang selesa buat skuad kebangsaan untuk mara dengan hanya satu aksi berbaki.
Bagaimanapun, perlawanan selepas ini boleh dikatakan sebagai penentu nasib anak-anak buah Peter Cklamovski kerana mereka akan berdepan Vietnam di tempat lawan.
BACA LAGI: [VIDEO] Rekod menarik persis 'kembar' Bergson, Nguyen Xuan Son wajar ditebus Selangor FC musim depan
BACA LAGI: Media Vietnam perlekeh Bergson, bandingkan dengan tonggak naturalisasi Golden Dragons

Harimau Malaya meraih kemenangan selesa ke atas Vietnam dalam pertembungan yang lalu. — Facebook/Malaysia NT
Pertembungan kedua-dua pasukan sebelum ini menyaksikan skuad kebangsaan meraih kemenangan selesa 4-0 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Namun, aksi kali ini amat berbeza kerana Harimau Malaya tidak dapat menggunakan khidmat tujuh pemain warisan digantung sementara Vietnam semakin bersedia dalam misi balas dendam.
Malah, baru-baru ini, penyerang naturalisasi baharu mereka, Nguyen Xuan Son mula berada dalam prestasi terbaik selepas meledak hatrik dalam saingan Piala Shopee.
Tiga gol itu dicatatkan semasa membantu pasukannya, Nam Dinh FC menewaskan kelab Myanmar, Shan United di tempat lawan pada Khamis.
Sepanjang perlawanan itu, penyerang berkenaan mempamerkan aksi bersungguh-sungguh dalam mencipta ruang sebelum mudah menyudahkan peluang terhidang.

Xuan Son sudah tenty teruja untuk membantu negaranya layak ke Piala Asia. — Agensi
Ia merupakan persembahan cukup memukau daripada pemain kelahiran Brazil itu yang kali kedua diturunkan musim ini selepas isu kelayakan menyaksikannya tidak layak untuk beraksi.
Aksi ditonjolkan itu sudah cukup untuk memikat perhatian pengendali skuad Vietnam, Kim Sang Sik untuk menurunkannya bagi pertembungan getir menentang Harimau Malaya.
Xuan Son sebelum ini juga kelihatan tidak sabar-sabar untuk beraksi menentang Harimau Malaya susulan kekalahan pasukan itu di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Dia ketika itu tidak dapat bersama rakan sepasukannya berikutan kecederaan serius yang menyaksikannya tidak beraksi hampir setahun.
Untuk rekod, penyerang berusia 28 tahun itu sudah merekodkan enam penampilan buat skuad kebangsaan Vietnam dengan lapan gol sudah dicetak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
