Kami dah buat analisis mengenai penyerang kelab Kemboja — Shane Lowry


  • Podium
  • Khamis, 04 Dis 2025

Lowry (kiri) ketika sesi latihan menjelang aksi menentang Svay Rieng pada Khamis. — Facebook/JDT

JAGUH Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta’zim (JDT) menerima sambutan hangat di Kemboja, dengan kelab itu memuji layanan negara berkenaan serta infrastruktur bola sepaknya yang mengagumkan.

Namun, rasa kagum itu ditinggalkan sebaik sahaja di atas padang apabila JDT bertekad untuk menumpaskan Svay Rieng dalam aksi ketiga Kumpulan B Kejohanan Kelab Asean Shopee Cup di Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh pada Khamis.

Juara Liga Super itu berazam untuk meneruskan momentum kemenangan dalam kejohanan tersebut selepas menewaskan Lion City Sailors dari Singapura 3-1 pada 21 Ogos dan Bangkok United dari Thailand 4-0 pada 25 September.

BACA LAGI: Hanya sekali pernah berkunjung ke Kemboja, Nazmi Faiz-JDT sukar lupakan malam indah di Phnom Penh

BACA LAGI: Tonggak utama belum cukup rehat, 3 pemain JDT bersedia hadapi juara Kemboja

Svay Rieng pula memulakan kempen mereka dengan kemenangan 3-0 ke atas Shan United dari Myanmar (21 Ogos) sebelum tewas 1-2 kepada Nam Dinh dari Vietnam pada 25 September.

Disuntik semangat sorakan penyokong sendiri, pasukan Kemboja itu dijangka tampil lebih garang untuk bangkit semula, ia sesuatu yang sudah pun dijangka oleh ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz.

"Ini adalah perlawanan yang sukar dan sangat penting bagi kami. Ia detik yang kritikal ketika kami berusaha mara ke pusingan seterusnya.

"Setiap perlawanan dalam Shopee Cup adalah mencabar, dan esok juga tidak terkecuali.

"Kami yakin dan percaya kami mampu menang. Pasukan berada dalam fokus dan bersedia," kata Munoz.

Pengendali JDT, Xisco Munoz. — Facebook/JDT

Munoz turut menegaskan keperluan mengekalkan konsistensi dalam pelbagai kejohanan.

"Ia bukan tentang satu detik atau satu perlawanan, anda perlu mengekalkan fokus setiap hari. Kami datang ke sini untuk memberikan yang maksimum, menghormati kejohanan dan membina mentaliti kuat yang perlu ada pada kelab besar," jelasnya.

Bek tengah, Shane Lowry turut seiring dengan pandangan ketua jurulatihnya dan mengakui dia teruja untuk turun beraksi, termasuk ketika diminta mengulas mengenai dua penyerang prolifik Svay Rieng, Kwame Peprah dan Patrick de Souza.

"Berkenaan penyerang mereka iaitu Patrick, Kwame dan yang lain, kami sudah membuat analisis kami.

"Kami menghormati kualiti mereka, tetapi fokus kami adalah pada perancangan sendiri. Kami tahu apa yang mahu dilakukan di atas padang," kata Lowry yang berasal dari Australia itu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram