[VIDEO] Rekod menarik persis 'kembar' Bergson, Nguyen Xuan Son wajar ditebus Selangor FC musim depan


  • Podium
  • Selasa, 24 Dis 2024

Rafaelson menggunakan nama Nguyen Xuan Son ketika bersama skuad kebangsaan Vietnam. — Agensi

SEJAK pelantikan Katsuhito Kinoshi sebagai pengendali baharu Selangor FC pada sebulan yang lalu, prestasi Gergasi Merah boleh dikatakan berada pada landasan yang terbaik.

Selepas terkeluar daripada saingan Piala Malaysia 2024, Selangor tidak lagi menoleh ke belakang apabila merekodkan lima kemenangan dalam lima perlawanan terakhir.

Bukan sahaja cemerlang dalam lima perlawanan terakhir, Kinoshi juga berjaya mempertingkatkan prestasi pemain-pemain pilihan kedua Selangor seperti Quentin Cheng, Aliff Haiqal Lau dan Alex Agyarkwa.

BACA LAGI: [VIDEO] Bawa aura Serbia, bintang Buriram United, ex-Liverpool mampu bantu Kinoshi di Selangor

BACA LAGI: [VIDEO] Fans Gergasi Merah dabik dada prestasi ‘Kyle Walker Selangor’ bawah Katsuhito Kinoshi

Namun begitu, barisan serangan Selangor yang diketuai oleh Ronnie Fernandez wajar diberikan perhatian bagi saingan musim depan apabila Gergasi Merah sekali lagi dijangka mengiringi Johor Darul Ta'zim (JDT) ke saingan Asia.

Ini kerana hanya JDT dan Selangor sahaja mempunyai pakej lengkap untuk membawa nama Malaysia ke pentas global tatkala pasukan lain menghadapi masalah tunggakan gaji.

Kedudukan Selangor di tempat kedua Liga Super 2024-2025 juga menyakinkan bahawa Kinoshi bakal menjadi individu kedua selepas Tan Cheng Hoe yang membawa Gergasi Merah ke Asia.

Dengan itu, wajar buat pihak pengurusan Selangor mengintai khidmat pemain naturalisasi Vietnam, Rafaelson Fernandes yang kini sedang 'menggila' di V.League 1 (Liga Vitenam) bersama Nam Dinh FC.

Diberi nama Nguyen Xuan Son selepas menukar kerakyatan Vietnam, pemain kelahiran Brazil itu telah mencatatkan 83 jaringan, 16 'assist' dalam 115 penampilan bersama tiga pasukan berbeza.

Musim ini,pemain berusia 27 tahun itu menjaringkan gol dalam setiap perlawanan diturunkan oleh pengendali Nam Dinh FC, Hong Viet Vu di saingan domestik dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2).

Manakala debutnya bersama skuad kebangsaan Vietnam dalam Piala Asean 2024 pula telah menarik perhatian penyokong-penyokong bola sepak rantau Asia Tenggara.

Pengendali Vietnam, Kim Sang-si meletakkan Rafaelson dalam kesebelasan utama dan pemain berketinggian 1.85 meter itu membalas kepercayaan jurulatihnya dengan dua jaringan debut untuk menewaskan Myanmar dengan keputusan 5-0 pada 21 Disember lalu.

Mempunyai tanda harga lebih RM2 juta (€500 juta), Selangor wajar mempertimbangkan khidmat Rafaelson yang sudah terbukti di rantau Asia Tenggara sejak 2020.

Dengan rekod menakjubkan di Vietnam, Rafaelson boleh diibaratkan seperti kembar penyerang sensasi JDT, Bergson da Silva yang mencipta sejarah tersendiri dalam Liga Super.

Mempunyai kontrak sehingga 30 Jun 2026, Selangor perlu mengeluarkan bajet untuk mendapatkan khidmat Rafaelson yang pernah berkenalan di Liga Brazil, Jepun dan Denmark itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram