[VIDEO] Latihan di Kuching City jadikan Haziq Nadzli persis David Raya


  • Podium
  • Selasa, 02 Dis 2025

Kecemerlangan Haziq mencetuskan perbandingan dengan penjaga gol Arsenal, David Raya.

SKUAD Kuching City FC tewas di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan agregat 4-1 selepas tewas 0-2 dalam aksi timbal balik separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Ahad.

Walaupun tewas di tangan juara bertahan berkenaan, persembahan yang ditampilkan oleh anak-anak buah Aidil Sharin Sahak wajar mendapat pujian berikutan bukan senang memberi tentangan hebat kepada JDT.

Antara pemain yang mendapat pujian terbanyak adalah penjaga gol skuad The Cats, Haziq Nadzli susulan aksi cemerlangnya menyelamatkan percubaan dari JDT dan mengurangkan jumlah bolos Kuching City.

BACA LAGI: Rating rendah berbanding Syihan, tak mustahil aksi di Australia jadi penampilan terakhir kiper Sepanyol JDT

BACA LAGI: Biarlah ramai pilihan sekali pun, tewasnya JDT di Australia ceritakan Arif Aiman tiada galang ganti

Menariknya, kecemerlangan Haziq turut mencetuskan perbandingan dengan penjaga gol Arsenal, David Raya khususnya dari aspek gaya permainan moden yang menuntut penjaga gol agresif dan pantas membaca gerakan lawan.

Seorang laman Facebook penyokong bola sepak tempatan yang dikenali sebagai Suara Santai turut memuji aksi Haziq dengan menyatakan bahawa penjaga gol hari ini bukan lagi sekadar 'berdiri di garisan'.

"Siapa kata penjaga gol hanya berdiri di garisan? Haziq Nadzli dari Kuching City FC dan David Raya dari Arsenal tunjukkan skill dan refleks luar biasa! Ini bukti bahawa latihan, fokus dan jiwa kompetitif membezakan yang hebat dari yang biasa.

"Apakah persamaan antara mereka? Ketajaman mata, refleks pantas, dan semangat juang yang tidak pernah padam. Jom kongsi pendapat anda, siapa penjaga gol kegemaran anda?," katanya.

 

 

Kecemerlangan Haziq di pentas separuh akhir itu turut membuktikan keberkesanan program latihan di Kuching City yang memberi penekanan kepada aspek teknikal serta fizikal seorang penjaga gol moden.

Sejak menyertai Kuching City pada awal musim ini, penjaga gol berusia 27 tahun berkenaan sudah tampil dalam 13 perlawanan domestik dengan merekodkan lima 'clean sheets'.

Dengan persembahan seperti itu, tidak keterlaluan jika dikatakan Haziq kini berada pada landasan tepat untuk muncul antara penjaga gol terbaik negara selepas penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram