SAINGAN Liga Malaysia (Liga M) 2025/2026 yang hampir memasuki separuh musim sudah menyaksikan pelbagai drama atas dan luar padang membabitkan kelab-kelab Liga Super mahupun pasukan dari Liga A1 Semi Pro.
Di antara 'drama' yang mewarnai liga setakat ini, isu tunggakan gaji melibatkan PDRM FC antara paling dibicarakan apabila difahamkan skuad Sang Saka Biru tidak menerima bayaran gaji selama lima bulan sejak Mei lalu.
Perkara berkenaan bukan sekadar khabar angin apabila ia juga sudah disahkan oleh pengendali PDRM, Eddy Gapil, selain prestasi semasa kelab Lembah Klang itu seolah-olah merumuskan masalah dihadapi mereka.
BACA LAGI: Dari rakan sejersi ke kapten berbeza kelab, hubungan Rizal-Tae-su tetap teguh
BACA LAGI: Gelora pengurusan PDRM angkara isu gaji berterusan, poster berdepan JDT dihasilkan ala kadar
Kekalahan 0-5 di tangan Imigresen FC pada 23 November lepas menjadikan skuad PDRM FC kini hanya mencatatkan lima tewas, tiga seri dan satu kemenangan selepas mengharungi sembilan perlawanan.
Sekiranya masalah gaji itu terus membelenggu PDRM FC, tidak terkejut senario pemain 'cabut awal' atau kelab sendiri mahu menjual pemain mereka akan berlaku menjelang jendela perpindahan pada Januari ini.
Oleh itu, masalah yang dihadapi skuad Sang Saka Biru berkenaan sebaliknya memberi manfaat kepada pasukan lain untuk mengambil kesempatan merekrut pemain berkualiti PDRM FC.
Sebelum jendela perpindahan kedua akan membuka tirainya pada Januari nanti, ini tiga pemain PDRM FC yang wajar diperhatikan oleh kelab Liga Super;
1) Fadi Awad (NSFC)
Sejak menyertai skuad Sang Saka Biru semula pada musim 2023 di peringkat Liga Super, Fadi Awad sentiasa menjadi pilihan untuk mengemudi jentera tengah pasukan berkenaan.
Perkara tersebut dibuktikan apabila pemain berusia 32 tahun berkenaan sudah merekodkan 61 penampilan, tiga gol dan satu bantuan jaringan bersama skuad The Cops setakat ini.
Dengan statistik yang cukup meyakinkan itu, tidak terkejut jika laporan media baru-baru ini memberitahu bahawa khidmat Fadi diburu beberapa kelab Liga Super dan luar negara.
Walaupun tidak menyebut nama kelab itu, skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) dianggap sesuai untuk merekrut khidmatnya berikutan mereka kini memerlukan khidmat pemain di posisi tengah bertahan.
Hal ini kerana, skuad kendalian Nidzam Jamil perlu bersiap sedia mencari pengganti sekiranya Selangor FC akan memanggil semula pemain pinjaman mereka iaitu Alex Agyarkwa pada jendela perpindahan Januari nanti.
2) Henri Doumbia (Melaka FC)
Namanya mungkin kurang disebut ketika kemasukannya ke PDRM FC pada Ogos lepas, namun Henri Doumbia semakin mendapat perhatian selepas aksi cemerlangnya membantu Sang Saka Biru mengikat Terengganu FC (TFC).
Ketika perlawanan yang berkesudahan seri 2-2 itu menyaksikan penyerang dari Ivory Coast itu meledak dua gol untuk membantu Sang Saka Biru sekurang-kurangnya mendapatkan satu mata.
Gaya permainannya yang agresif, pantas, dan licik menjadikan pemain berusia 33 tahun tersebut sangat sukar diatasi oleh barisan pertahanan Sang Penyu pada aksi tersebut.
Setakat sudah tampil dalam sembilan perlawanan termasuk dua aksi Piala FA untuk PDRM, bekas pemain Al-Wehdat SC berkenaan sudah meledak empat gol, angka yang cukup meyakinkan pasukan lain mendapatkan khidmatnya.
Jika dilihat pada kedudukan semasa, Melaka FC yang kini berada pada tangga terakhir liga wajar mendapatkan Doumbia bagi memperkemas jentera serangan mereka, sekali gus membuka peluang untuk mendapat kemenangan pertama musim ini.
3) Park Tae-su (Sabah FC)

Tae-su menyertai PDRM FC pada awal musim ini. — Facebook/PDRMFC
Pertahanan tengah kelahiran Korea Selatan, Park Tae-su menyertai skuad Sang Saka Biru pada awal musim ini selepas Sabah FC memutuskan untuk tidak menyambung khidmatnya.
Walaupun sudah di usia 36 tahun dan bermain bersama pasukan baharu, ia tidak menjejaskan prestasi Tae-su apabila dia merupakan tonggak PDRM dan turut dilantik sebagai ketua pasukan.
Setakat 10 perlawanan termasuk dua aksi Piala FA diturunkan bersama The Cops, Tae-su bukan hanya menjaga bahagian belakang dengan sangat baik, malah turut mencetak dua gol untuk PDRM FC.
Meskipun menyarung jersi PDRM FC, kasih sayang Tae-su bersama Sabah tidak pernah tumpah apabila dia sering memberikan sokongan terhadap negeri itu seperti menghadiri aksi Sabah FA menentang Young Tigress di Stadium MBSJ dekat Subang Jaya, Selangor pada 1 Oktober.
Dengan Tae-su yang masih cemerlang dan PDRM mengalami masalah tunggakan gaji, Sabah boleh mempertimbangkan semula mendapatkan khidmatnya bagi menambah skuad depth terutama di bahagian pertahanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
