[VIDEO] Kempunan habiskan pani puri, rahang wanita malang di India tiba-tiba terkehel


  • Benua
  • Rabu, 03 Dis 2025

Tangkap layar menunjukkan detik cemas seorang wanita yang mengalami insiden ngeri apabila rahangnya terkehel.

KUNJUNGAN biasa ke gerai makanan jalanan di Auraiya, Uttar Pradesh, India pada Sabtu lepas berubah menjadi pengalaman menakutkan apabila rahang seorang wanita terkehel ketika sedang makan pani puri.

Insiden mengejutkan itu berlaku ketika wanita berkenaan yang dikenali sebagai Inkila Devi, berhenti di sebuah gerai tepi jalan bersama ahli keluarganya.

Menurut laporan, Devi pada mulanya hanya ingin menikmati snek popular India itu sebelum pulang dari sebuah klinik berhampiran.

BACA LAGI: [VIDEO] Individu buat ancaman bom palsu di KLIA ditahan

BACA LAGI: Ahli GISBH dibebaskan lepas selesai jalani hukuman, bukan kerana kes gugur — Saifuddin Nasution

Namun, ketika cuba menggigit sebiji pani puri yang lebih besar daripada biasa, rahangnya tiba-tiba terkehel.

Kejadian itu membuatkan mulutnya terbuka dan tidak dapat ditutup menyebabkan kesakitan yang teruk serta panik dalam kalangan orang ramai.

Susulan kejadian itu, keluarganya segera membawa Devi kembali ke klinik berdekatan yang mana doktor bertindak memberikan rawatan kecemasan.

Bagaimanapun, keadaan rahangnya didapati terlalu serius untuk ditangani di klinik berkenaan.

Disebabkan ketidakupayaan menutup mulut sepenuhnya serta kebimbangan terhadap kerosakan saraf atau tisu, doktor merujuk Devi ke hospital dengan kepakaran lebih tinggi.

Dalam perkembangan terkini, rahangnya berjaya diselaraskan semula dan keadaannya kini stabil.

Kes itu dirakam dalam sebuah video yang kini tular di media sosial, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penggemar pani puri di seluruh India.

Pada masa sama, ahli keluarganya memaklumkan bahawa Devi tidak pernah mengalami masalah serupa sebelum ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp Channel dan Telegram