DATUK Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap empat pertuduhan menerima suapan membabitkan wang tunai dan barangan bernilai keseluruhan RM176,829.03 berkaitan proses kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri itu didakwa menerima RM140,000 tunai serta perabot dan barangan elektrik bernilai RM36,829.03 daripada ahli perniagaan Tei Jiann Cheing atau Albert Tei dalam empat transaksi berasingan antara 24 November 2023 hingga 5 Mac 2024.
Suapan itu didakwa diberikan sebagai dorongan untuk membantu syarikat milik Tei mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
BACA LAGI: [VIDEO] Kempunan habiskan pani puri, rahang wanita malang di India tiba-tiba terkehel
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding berasingan, ahli perniagaan Albert Tei turut didakwa di Mahkamah Sesyen atas empat tuduhan memberi suapan berjumlah RM176,829.03 terdiri daripada RM140,000 tunai dan perabot serta barangan elektrik bernilai RM36,829.03 kepada Shamsul Iskandar bagi tujuan yang sama.
Albert Tei ,37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan di atas kesemua tuduhan berkenaan yang didakwa dilakukan pada tahun 2023 dan 2024.
Kesemua kesalahan tersebut didakwa dilakukan di beberapa lokasi termasuk tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Medang Serai di Bukit Bandaraya, serta Presint 14, Putrajaya antara 24 November 2023 dan 5 Mac 2024. — The Star/NURBAITI HAMDAN
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp Channel dan Telegram
