[VIDEO] Hatrik lawan, kad merah 'midfield' jadi penamat tragis kali terakhir Sabah ke pentas final


  • Podium
  • Khamis, 04 Dis 2025

Sabah menamatkan penantian 27 tahun untuk melangkah ke perlawanan akhir Piala FA selepas menewaskan Selangor 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti. — Facebook/sabahfc

RIBUAN penyokong Sabah FC kini tersenyum lebar selepas pasukan kesayangan mereka melakar sejarah dengan menempah tiket ke perlawanan akhir Piala FA 2025 setelah lebih dua dekad.

Kemenangan penuh dramatik itu hadir selepas Sabah mempamerkan aksi meyakinkan untuk menyingkirkan pencabar utama, Selangor FC dalam saingan separuh akhir di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Ahad.

Turun dengan mentaliti juara, Sang Badak jelas enggan pulang dengan tangan kosong apabila menampilkan permainan penuh disiplin dan bersemangat tinggi bagi mengimbangi tekanan skuad Gergasi Merah.

BACA LAGI: 'Anda jawab di atas padang', Gamel 'bakar' semangat Faisal Halim harungi detik sukar

BACA LAGI: [VIDEO] Kelab lagi penting? Harimau Muda tak cukup matang andai 3 bintang Liga Super 'lupakan' Sukan SEA

Aksi berbalas serangan menyaksikan kedua-dua pasukan saling membolosi gawang, sebelum keputusan agregat 5-5 memaksa penentuan sepakan penalti dalam suasana unik tanpa kehadiran penyokong berikutan hukuman FAM terhadap Selangor.

Sabah akhirnya mengesahkan kemaraan bersejarah ke final selepas menang 5-4 dalam penentuan penalti, sekali gus menamatkan penantian panjang selama 27 tahun untuk kembali ke pentas akhir Piala FA.

Kejayaan itu membawa Sabah ke perhitungan epik menentang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi final yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada 14 Disember nanti.

Di sebalik kegembiraan itu, penyokong Sabah pasti masih mengingati detik hitam yang pernah menimpa mereka dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2003 antara momen paling perit dalam sejarah bola sepak Borneo itu.

Meskipun berbeza pertandingan, kemaraan ke pentas akhir dalam Piala FA tahun itu masih cukup diingati kerana ia merupakan kali terakhir Sabah melangkah ke final dalam mana-mana kejohanan.

Akaun Instagram @torabolaofficial sebelum ini mengimbas kembali bagaimana impian Sabah menjulang trofi sulung Piala Malaysia musnah di tangan pasukan kelab MPPJ Selangor.

Meskipun Sabah ketika itu berada pada prestasi terbaik dan dianggap pencabar utama setelah menewaskan Perak dua tahun berturut-turut di separuh akhir (2002 dan 2003), skrip berbeza berlaku di final.

Walaupun memiliki rekod pertemuan lebih baik terhadap lawan sama di peringkat kumpulan, Sabah akhirnya tunduk 0-3 dalam aksi penentu itu.

Penjaga gol Sabah FC, Damien Lim muncul wira buat Sang Badak selepas berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti pasukan tuan rumah dalam final Piala FA 2025.

Lebih perit lagi, barisan pertahanan Sabah gagal mengekang ketajaman penyerang import MPPJ ketika itu, Juan Manuel Arostegui yang meledak hatrik sekali gus muncul wira dalam aksi penuh dramatik itu.

Manakala, legenda bola sepak tanah air, K. Sanbagamaran dilayangkan kad merah ketika perlawanan masih panjang akibat didakwa sengaja menjatuhkan diri untuk mendapatkan sepakan penalti.

Kini, dengan peluang baharu di depan mata, penyokong Sabah berharap sejarah lama dapat diganti dengan kenangan manis apabila Sang Badak turun menentang JDT, sekali gus menjadikan 2025 sebagai tahun kebangkitan sebenar bola sepak Borneo.

Walaupun tragedi lalu kekal sebagai antara detik paling perit buat penyokong Sang Badak, selepas lebih dua dekad menunggu, Sabah akhirnya kembali berpeluang menulis sejarah baharu di pentas final. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp Channel dan Telegram