KETUA Jurulatih Selangor FC, Christophe Gamel tampil menyuntik semangat buat pemain sayap skuad kebangsaan, Faisal Halim yang kini berdepan pelbagai dugaan dalam dan luar padang.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Gamel menitipkan pesanan ringkas namun penuh makna kepada pemain yang mesra disapa Mickey itu.
"Stay strong little big man Faisal Halim, you answering on the field every game!," tulisnya.
BACA LAGI: Tak tergesa-gesa pulang, bek Selangor sempat ubati kerinduan di Thailand

Tangkap layar Insta Story Gamel.
Gamel turut menegaskan bahawa prestasi konsisten yang dipamerkan Faisal setiap kali diturunkan sudah cukup menjadi jawapan kepada komitmen serta profesionalismenya meskipun dihimpit pelbagai ujian.
Terdahulu, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan berita perceraian Faisal bersama isterinya, Nur Syazwani Mizuana Shahril di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor pada Jumaat lalu.
Di atas padang pula, kapten Selangor itu turut melalui detik sukar apabila gagal membawa Gergasi Merah ke final Piala FA 2025 selepas tewas 4-5 dalam penentuan sepakan penalti kepada Sabah FC.
Biarpun kedua-dua pasukan terikat 5-5 secara agregat dalam aksi separuh akhir dramatik di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Ahad, keputusan tersebut tetap menamatkan harapan mereka untuk mara ke pentas final.
Rentetan ujian peribadi dan profesional itu nyata memberi kesan besar terhadap perjalanan karier pemain lincah skuad Harimau Malaya itu.
Namun, suntikan kata-kata semangat daripada Gamel diyakini mampu menjadi pembakar motivasi buat Faisal untuk kembali bangkit dan terus menyerlah dalam saingan domestik serta pentas Asia selepas ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp Channel dan Telegram
