Ahli GISBH dibebaskan lepas selesai jalani hukuman, bukan kerana kes gugur — Saifuddin Nasution


  • Massa
  • Rabu, 03 Dis 2025

Menurut Saifuddin, pembebasan ahli GISBH bukan disebabkan pengguguran kes tetapi hasil pelaksanaan sepenuhnya keputusan kehakiman.

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) menegaskan pembebasan individu yang dikaitkan dengan GISBH Holdings (GISBH) yang ditahan melalui Op Global sebelum ini bukan disebabkan pengguguran kes, kekurangan bukti atau disebabkan keputusan pentadbiran mana-mana agensi.

Sebaliknya, Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pembebasan itu berikutan pelaksanaan sepenuhnya keputusan kehakiman.

"Saya ingin menegaskan bahawa pembebasan individu-individu berkenaan adalah selaras peruntukan undang-undang setelah mereka selesai menjalani hukuman penjara yang telah ditetapkan oleh mahkamah.

BACA LAGI: [VIDEO] Individu buat ancaman bom palsu di KLIA ditahan

BACA LAGI: 'Anda jawab di atas padang', Gamel 'bakar' semangat Faisal Halim harungi detik sukar

"Oleh itu, pembebasan mereka bukan disebabkan oleh pengguguran kes, kekurangan bukti atau disebabkan keputusan pentadbiran mana-mana agensi. Ia merupakan pelaksanaan sepenuhnya keputusan kehakiman," katanya melalui jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan melalui laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan soalan Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang memohon penjelasan kes GISBH yang semua anggotanya dibebaskan baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Mengulas lanjut, beliau berkata, KDN melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan ke atas ahli GISBH yang ditahan dalam operasi terdahulu bagi kesalahan jenayah terancang dengan cadangan pertuduhan di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan.

Pada 23 Oktober 2024, seramai 22 orang dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang di Selangor di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan, manakala 38 lagi dibebaskan atas alasan kekurangan bukti dan keterangan.

Pada 7 November 2025, katanya satu prosiding dijalankan di Mahkamah Khas Penjara Kajang di Selangor susulan permohonan representasi dikemukakan pihak pembelaan semua orang kena tuduh (OKT).

"Dalam prosiding itu, semua OKT ditawarkan pertuduhan di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan mereka mengaku salah yang mana sembilan OKT perempuan dijatuhkan hukuman denda RM4,500 seorang, manakala 13 OKT lelaki dijatuhkan hukuman penjara 15 bulan daripada tarikh tangkap.

"Kesalahan disabitkan di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 adalah melibatkan kesalahan menyertai, membantu atau terlibat dalam pertubuhan yang tidak berdaftar atau dilarang, sebagaimana diperuntukkan dalam seksyen-seksyen berkaitan dalam akta berkenaan," katanya.

Selain itu, Saifuddin berkata, kumpulan terbabit juga diambil tindakan siasatan oleh pihak Pasukan Siasatan Penggubahan Wang Haram (AMLA) PDRM, dengan 230 kertas pertuduhan kes AMLA dikenakan kepada mereka, yang mana kes tersebut masih dalam perbicaraan.

"PDRM juga berjaya menyita RM23 juta harta milik kumpulan berkenaan dengan pecahan wang RM1.5 juta dan harta sebanyak RM21.5 juta.

"Kerajaan ingin menegaskan bahawa aspek keselamatan dalam negara kekal menjadi keutamaan.

"KDN komited memastikan setiap tindakan penguatkuasaan berkait GISBH atau mana-mana pertubuhan lain dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan selaras dengan undang-undang," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp Channel dan Telegram