JAGUH Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta'zim (JDT) melalui musim yang padat musim ini berikutan perlu menghadapi saingan domestik, Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan Kejuaraan Kelab Asean atau Shopee Cup.
Selepas mengesahkan tiket ke final Piala FA menerusi kemenangan agregat 4-1 ke atas Kuching City pada Ahad lalu, skuad Harimau Selatan tidak menunggu lama sebelum berlepas ke Kemboja untuk aksi penting menentang Svay Rieng.
Kemenangan ke atas The Cats itu hadir hanya beberapa hari selepas anak buah Xisco Munoz dimalukan Melbourne City FC 0-2 dalam aksi ACLE pada 25 November, sekali gus menyaksikan JDT mengharungi dua perlawanan dalam tempoh seminggu.
BACA LAGI: Biarlah ramai pilihan sekali pun, tewasnya JDT di Australia ceritakan Arif Aiman tiada galang ganti
Keletihan jelas menjadi isu utama apabila Harimau Selatan kini perlu meneruskan perjuangan di Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh bagi menentang juara bertahan Liga Kemboja tersebut.
Dengan jadual sesak dan masa rehat yang minimum, kebimbangan penyokong tertumpu kepada tahap kecergasan tonggak utama yang beraksi dalam dua perlawanan sebelum ini.
Demi memastikan Harimau Selatan terus mengekalkan rentak kemenangan, Munoz disaran melakukan penggiliran pemain bagi memberi ruang kepada tenaga baharu mengisi kekosongan.
Sehubungan itu, Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang dilihat berpotensi menggantikan tonggak utama bagi membantu JDT menghadapi cabaran getir menentang Svay Rieng.
1) Ibrahim Manusi

Ibrahim mengalami debut sukar bersama skuad senior Harimau Selatan. — Facebook/JDT
Perpindahan Ibrahim Manusi ke Iskandar Puteri disambut baik oleh penyokong Harimau Selatan berikutan keunggulan ditunjukkan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2024/25 ketika JDT menewaskan skuad Tok Gajah.
Kehadiran pemain berusia 23 tahun berkenaan membuatkan ramai orang meletakkan harapan kepadanya dengan Ibrahim dijangka memikul peranan besar dalam pasukan JDT pada musim ini.
Bagaimanapun, persaingan yang ramai di posisi tengah bertahan membuatkan Ibrahim sukar mendapatkan tempat dan lebih banyak bermain di aksi Liga A1 Semi Pro bersama JDT II.
Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Baim Copot yang baru tampil dalam satu aksi bersama skuad utama pada aksi bertemu UM Damansara wajar diberikan peluang menentang Svay Rieng.
Tidak dinafikan aksinya ketika menentang UM Damansara mendapat kritikan, namun ia bukan alasan untuk menghentikan peluang kepada Ibrahim menonjolkan kemampuannya seperti ketika menyarung jersi Sri Pahang sebelum ini.
2) Christian Abad

Abad perlu diberi semula kepercayaan menjaga gawang JDT. — Facebook/JDT
Selain Ibrahim, seorang lagi pemain yang menjadi tumpuan kritikan selepas aksi menentang UM-Damansara United ialah penjaga gol muda, Christian Abad yang beberapa kali melakukan kesilapan sehingga mengundang keresahan penyokong.
Walaupun JDT tetap mara dalam saingan Piala FA, hakikat bahawa tiga gol dibolosi ketika berdepan pasukan Liga A1 Semi Pro dianggap menjejaskan standard kelab, apatah lagi JDT terkenal dengan rekod pertahanan kukuh serta keupayaan mengekalkan ‘clean sheet’.
Namun, situasi itu tidak wajar dijadikan alasan untuk Xisco Munoz terus mengetepikan Abad, terutama jika pengendali itu mahu memberi ruang rehat kepada Syihan yang baru beraksi penuh menentang Kuching City.
Pilihan Munoz juga agak terhad memandangkan penjaga gol import senior, Andoni Zubiaurre turut dihimpit kritikan selepas kekalahan kepada Melbourne City baru-baru ini.
Sekiranya Abad diberikan peluang sekali lagi, motivasinya sudah pasti meningkat untuk membuktikan kemampuan sebenar serta bangkit daripada kesilapan yang mencetuskan kritikan dalam penampilan terdahulu.
3) Moussa Sidibe

Sidibe diberi peluang kedua untuk bermain bersama JDT. — Facebook/JDT
Moussa Sidibe yang pernah menyarung jersi JDT pada musim 2022 diberikan peluang kedua menyertai Harimau Selatan pada awal musim ini, dengan harapan dia boleh memberi saingan kepada pemain lain.
Bagaimanapun, lambakan pilihan di bahagian sayap mengakibatkan pemain berusia 30 tahun dari Mali tersebut hanya bermain untuk skuad JDT II bagi saingan Liga A1 Semi Pro.
Jika dilihat statistik perlawanan semasa, pemain yang boleh beraksi di pelbagai posisi seperti bahagian tengah dan penyerang tengah itu hanya tampil dalam empat aksi bersama skuad utama.
Kekurangan minit permainan itu membuka ruang untuk Sidibe kembali membuktikan kemampuan sebenar, lebih-lebih lagi ketika JDT berdepan jadual padat dan memerlukan penggiliran pemain.
Dalam situasi semasa, Munoz mempunyai alasan kukuh untuk mempertimbangkan Sidibe bagi aksi menentang Svay Rieng susulan bahagian sayap kanan kini berdepan kekurangan pilihan ekoran kecederaan menimpa tonggak utama, Arif Aiman Hanapi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
