Buat silap lawan Crystal Palace, legenda Red Devil titip kata-kata semangat buat bek muda Man United


  • Podium
  • Isnin, 01 Dis 2025

Yoro menghadiahkan penalti selepas melakukan terjahan cuai ke atas Jean-Philippe Mateta.  — Agensi 

LENY Yoro menjadi perhatian selepas Manchester United menewaskan Crystal Palace di Selhurst Park apabila pertahanan muda itu dilihat berjalan dengan hoodie menutupi kepala dan jelas kecewa dengan prestasinya.

Aksi bek muda dari Perancis yang tampak lesu dalam perlawanan tersebut menyebabkan dia dikeluarkan pada minit ke-54, dan rakaman televisyen memaparkannya murung di bangku simpanan. 

Rakan sepasukan, Mason Mount dilihat memujuk serta memberikan kata-kata semangat sejurus wisel penamat.

BACA LAGI: Tak main-main, Man United sasar pemain tengah Real Madrid meski terpaksa ‘pecah tabung'

BACA LAGI: Belum dapat tembusi skuad utama, 'wonderkid' Man United mungkin berkelana ke Nice

Difahamkan, Yoro menjadi pengkritik paling tegas terhadap dirinya sendiri selepas mengakui persembahannya menentang Palace serta Everton sebelumnya berada di bawah tahap sebenar. 

Dalam insiden yang mengundang kritikan, Yoro turut menghadiahkan penalti selepas melakukan terjahan cuai ke atas Jean-Philippe Mateta.

Selain itu, beberapa kesilapan awal termasuk salah faham bersama Matthijs de Ligt yang hampir memberikan gol mudah kepada Palace menambah tekanan terhadap anak muda berusia 20 tahun itu.

Walaupun United berjaya bangkit pada separuh masa kedua menerusi jaringan Joshua Zirkzee dan Mount bagi menewaskan Palace, kekalahan liga pertama tuan rumah di Selhurst Park dalam tempoh sembilan bulan, fokus tertumpu kepada emosi Yoro selepas perlawanan.

Tindakan Mount memeluk dan menenangkan Yoro turut dipuji, menggambarkan hubungan kukuh dalam bilik persalinan yang sebelum ini disuarakan sendiri oleh pemain itu di Carrington.

Bekas bintang United, Rio Ferdinand. — Agensi

Bekas bintang United, Rio Ferdinand turut memberikan kata-kata motivasi di media sosial 'gunakan pengajaran ini sebagai pembakar semangat. Dia pemain muda dan akan bangkit semula'. 

Ketua jurulatih, Ruben Amorim dijangka akan memberi rehat kepada Yoro dalam aksi seterusnya menentang West Ham bagi mengurangkan tekanan dan memulihkan keyakinannya. 

Dengan Lisandro Martinez kembali pulih daripada kecederaan serta pilihan lain seperti Noussair Mazraoui dan Ayden Heaven, United mempunyai cukup opsyen di bahagian pertahanan.

Pemerhati bola sepak menyifatkan pengurusan situasi ini sebagai langkah penting untuk perkembangan Yoro, yang dilihat masih dalam fasa membina keyakinan dan konsistensi. 

Namun, ramai percaya bahawa detik sukar ini bakal menjadikan Yoro lebih matang dan kembali lebih kuat selepas melalui tempoh sukar di Selhurst Park. — Agensi 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram