SUASANA yang amat tegang berlaku dalam aksi Piala Bolivia melibatkan Blooming melawan Real Ocuro dalam merebut tempat ke separuh akhir kejohanan itu.
Dalam perlawanan tersebut yang berakhir dengan keputusan 2-2, seramai 17 orang dilayankan kad merah oleh pengadil selepas terlibat dalam pergaduhan antara dua kelab.
Keputusan perlawanan itu memihak Blooming selepas mereka layak dengan agregat 4-3.
BACA LAGI: Bergson, Ronald Ngah, Mabella bersaing gelaran 'kadar penyudah' paling tinggi di Liga Super
BACA LAGI: Tak sempat keluar peluh, import Selangor FC tinggalkan kelab
Punca kejadian dikatakan bermula apabila pemain Ocuro, Sebastian Zeballos dihalang oleh sekumpulan pemain lawan namun dapat melepaskan diri dan menolak pemain lain.
Rakan sepasukannya, Julio Vila turut dilihat dalam keadaan marah lalu menumbuk yang menyebabkan keadaan semakin tegang.
Malah, jurulatih Ocuro, Marcelo Robledo turut melakukan provokasi terhadap jurulatih lawan sebelum ditolak sehingga terjatuh.
Dia dikatakan mengalami kecederaan bahu dan kepala dan terpaksa dikejarkan ke hospital.
Pengendali Blooming, Mauricio Soria terpaksa mengarahkan para pemainnya untuk masuk ke bilik persalinan bagi memastikan keadaan terkawal.
Kejadian itu menyebabkan 20 pegawai polis terpaksa campur tangan untuk meredakan keadaan dengan mereka menggunakan gas pemedih mata.
Dikatakan, para pemain Ocuro tidak dapat menerima kekalahan selepas gagal mencari gol diperlukan untuk mengheret aksi ke penentuan sepakan penalti.
Pengadil, Renan Castillo melayangkan lapan kad merah kepada pemain Blooming dengan empat buat pemain Ocuro.
Tujuh pemain Blooming dibuang padang akibat pergaduhan dengan seorang lagi, Cesar Menacho dibuang padang semasa perlawanan kerana menggunakan bahasa kesat terhadap pengadil.
Baki kad merah turut dikenakan terhadap jurulatih dan staf kedua-dua kelab.
Castillo akan menghantar laporan kepada Tribunal Disiplin Sukan Bolivia untuk membolehkan tindakan lanjut diambil. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp Channel dan Telegram
