PENGENDALI berpengalaman tanah air, Datuk Ong Kim Swee mencipta kejutan buat peminat bola sepak dalam negara dan di Indonesia selepas meninggalkan Persik Kediri pada Khamis.
Keputusan terbabit dibuat tanpa disangka mana-mana pihak kerana jurulatih tersebut baru sahaja dilantik pasukan itu pada awal musim lalu.
Malah, impak dibawanya juga tidaklah begitu mengecewakan memandangkan selepas 13 perlawanan Liga Super Indonesia, kelab itu berada di tangga ke-11 hasil 15 mata direkodkan.
BACA LAGI: Kim Swee tinggalkan Persik Kediri, Terengganu dan Sabah wajar segera 'buka tangan'
BACA LAGI: Situasi makin genting, Sabah perlu lakukan segalanya demi pikat semula Ong Kim Swee

Kim Swee membuat kejutan dengan meninggalkan Persik Kediri pada Khamis.
Pulangan berkenaan bukanlah sesuatu yang teruk kerana Persik Kediri sudah bermusim-musim menduduki zon pertengahan, termasuk pada kempen lalu apabila mereka menamatkan musim di kedudukan ke-12.
Namun, dengan keputusan sudah dibuat, pasukan itu hanya boleh menerima bahawa Kim Swee tidak akan lagi membimbing mereka bagi baki kempen kali ini.
Pemergian jurulatih terbabit turut menimbulkan spekulasi mengenai masa depannya kerana dalam kenyataan dikeluarkan, terdapat kemungkinan kelab tanah air akan menjadi destinasinya selepas ini.
Ini termasuk Sabah FC dan Terengganu FC berikutan prestasi tidak konsisten musim ini apabila Jean Paul de Marigny serta Badrul Afzan Razali bergelut bersama kelab masing-masing.
Minat ditunjukkan kepada Kim Swee itu sekali gus menimbulkan persoalan, adakah jurulatih kelahiran Melaka tersebut cukup baik sehingga kerap kali menjadi rebutan?

Kim Swee (tengah) membuktikan kebolehan semasa pertama kali membimbing skuad muda negara.
Dia terlebih dahulu membina karier dalam bidang berkenaan sebagai pengendali Harimau Muda A selama lima tahun bermula 2009, termasuk dalam saingan Liga Perdana Singapura.
Kariernya kemudian diteruskan bersama skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara dari 2011 sehingga 2015 yang menyaksikan mereka bersaing dalam Liga Perdana Kebangsaan Queensland di Australia.
Dari situ, kebolehan Kim Swee terus terbukti apabila dia diberi kepercayaan besar buat pertama kali sebagai jurulatih interim Harimau Malaya susulan pengunduran Datuk Dollah Salleh.
Bagaimanapun, ujian dalam pasukan utama negara ternyata sukar kerana sepanjang tempoh dua tahun, dia hanya sempat mengharungi 21 perlawanan dengan tujuh daripadanya berakhir dengan kemenangan.
Selepas itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekali lagi memberi tugas buatnya bersama skuad B-23 negara yang membuahkan hasil dengan kejayaan meraih pingat perak Sukan SEA 2017.

Kim Swee membantu skuad B-23 negara meraih pingat perak dalam Sukan SEA 2019.
Setelah dua tahun bersama pasukan muda tempatan, Kim Swee memikul peranan pengarah teknikal negara sebelum sekali lagi diberi kepercayaan di peringkat kelab apabila Sabah FC melantiknya pada 2021.
Tempoh bersama skuad Sang Badak menaikkan lagi nilai dan kualiti jurulatih terbabit apabila mengubah kelab itu daripada 'pelengkap jadual' kepada pencabar utama.
Kejayaan itu dikecapi dengan pendekatan cukup efektif setiap kali tempoh perpindahan dengan pemain seperti Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali dan Amri Yahyah jelas membawa perbezaan.
Tidak cukup dengan itu, import yang disambar ketika tempoh pengendaliannya seperti Miguel Cifuentes dan Ramon Machado jelas berbaloi meskipun ada daripadanya berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri.
Malah, perlu diingatkan bahawa setiap pencapaian dikecapi bersama Sabah FC dilakar ketika kelab tersebut berdepan masalah tunggakan gaji dan pengurusan.

Kim Swee turut membuktikan dirinya di peringkat kelab ketika membimbing Sabah FC.
Cabaran di luar padang itu tidak menghalang Kim Swee daripada mencetuskan revolusi apabila skuad Sang Badak berjaya menamatkan saingan Liga Super buat dua musim berturut-turut.
Selepas hampir empat tahun di Borneo tanah air, dia akhirnya mengucapkan selamat tinggal setelah menerima tawaran kelab Indonesia, Persis Solo yang mempercayai kebolehannya.
Keputusan untuk melantiknya dibuat ketika kelab itu berdepan risiko tersingkir dengan ramai berpandangan misi itu seakan-akan mustahil dilakukan melihat kepada baki perlawanan.
Bagaimanapun, Kim Swee akhirnya membuktikan kebolehannya tidak boleh dipandang rendah meskipun kali pertama mencuba nasib di tempat baharu.
Kini, dengan dia tidak lagi bersama Persik Kediri, destinasi bakal ditujunya pasti menarik untuk disaksikan dengan penyokong pasti teruja untuk menyaksikan magis dan sentuhannya sekali lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
