KEHIDUPAN seorang jurulatih bukan sahaja meninggalkan legasi di pentas profesional, malah turut memainkan peranan besar dalam menggilap bakat anak masing-masing sehingga mampu menjejakkan kaki ke dunia bola sepak.
Pengalaman luas mereka dalam kerjaya jelas memberi kelebihan untuk membentuk anak masing-masing menjadi prospek bola sepak apabila tiada masalah untuk memberi latihan berstruktur.
Latihan harian yang disediakan oleh sang ayah bukan sekadar rutin tetapi didampingi tunjuk ajar teknikal berikutan pengalaman mereka pernah bergelar pengendali pasukan utama negara.
BACA LAGI: Jangan bunuh bola sepak kita — Safee Sali
BACA LAGI: Tertipu tawaran kontrak bola, kiper muda Indonesia jadi mangsa pemerdagangan manusia di Kemboja
Jika di luar negara, Zinedine Zidane melatih empat anaknya iaitu Enzo, Luca, Theo dan Elyaz Zidane apabila melatih serta memantau perkembangan mereka di akademi Real Madrid.
Satu lagi contoh ialah bekas penyerang Barcelona dan Belanda, Patrick Kluivert membantu membimbing anaknya iaitu Justin Kluivert sehingga ke akademi Ajax dan kini dia bermain di Liga Perdana Inggeris (EPL), AFC Bournemouth.
Situasi jurulatih merangkap ayah melatih anak menjadi pemain bola sepak boleh disaksikan pada landskap tanah air apabila menyaksikan tiga bekas jurulatih Liga Super menurunkan ilmu kepada anak mereka.
1) Mehmet Durakovic

Emin Durakovic bermain untuk Melbourne City. — Facebook/MelbourneCity
Legenda jurulatih Perak FC, Mehmet Durakovic mempunyai seorang anak bernama Emin Durakovic yang kini muncul sebagai antara bakat muda paling menarik perhatian dalam Liga Australia selepas menunjukkan perkembangan bersama Melbourne City.
Walaupun baru berusia 20 tahun, Emin semakin menyerlah sebagai pemain tengah berbakat, menggabungkan visi permainan yang matang dengan teknik tinggi, jelas hasil didikan awal bapanya.
Tahun lalu, Emin mewakili Australia Bawah 18 (B-18) pada Kejohanan FPF Sub-18 di Portugal, selain dia juga berhasil mencipta satu bantuan jaringan ketika menentang England.
Persembahan meyakinkan itu mendorong Melbourne City menawarkan kontrak tiga tahun kepada pemain remaja tersebut pada Jun 2024, sebagai pertaruhan jangka panjang kelab itu terhadap masa depannya.
Sejak dinaikkan pangkat ke skuad senior, pemain muda yang beraksi di posisi tengah itu telah membuat 13 penampilan termasuk empat aksi dalam Liga Juara-Juara Asia Elit (ALCE).
2) Bojan Hodak

Luka dilahirkan di Damansara.
Luka Jordy Hodak, anak kepada pengendali Persib Bandung iaitu Bojan Hodak, dilihat sebagai salah satu prospek muda bola sepak yang berpotensi menyarung jersi Harimau Malaya di masa hadapan.
Berbeza dengan Mehmet, Bojan tetap menunjukkan ikatan istimewa dengan Malaysia apabila anaknya, Luka Jordy Hodak dilahirkan di Damansara, Selangor pada 30 September 2008, hasil perkahwinannya dengan seorang ibu warga tempatan kelahiran Pulau Pinang.
Berdasarkan pertalian darah, Luka mempunyai peluang untuk mewakili sama ada Croatia menerusi bapanya atau Malaysia melalui ibunya, sekali gus berpeluang besar untuk menjadi sasaran pemantauan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Anak muda berusia 16 tahun berkenaan kini beraksi bersama NK Trnje iaitu salah sebuah kelab tempatan di Croatia, negara kelahiran bapanya.
Walaupun masih muda, pengalaman dan bimbingan yang diperoleh daripada Bojan dijangka memberi kelebihan besar kepada Luka dalam menghadapi cabaran bola sepak profesional.
3) Zainal Abidin

Zainal Abidin bersama anaknya Mohd Zaiza (kiri). — Facebook/PahangFA
Bekas penyerang kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan dikenali sebagai salah seorang legenda bola sepak Malaysia yang pernah mengharungi cabaran bersama Selangor FA dan Pahang FA.
Sepanjang kariernya, beliau menonjol sebagai penyerang berbakat yang memberi impak besar kepada pasukan, di samping mempamerkan kepimpinan yang dihormati di atas padang.
Legasi Zainal Abidin tidak terhenti di situ, sebaliknya diteruskan oleh anaknya, Mohd Zaiza Zainal Abidin, yang turut mengorak langkah dalam arena bola sepak tempatan.
Untuk info, Zaiza pernah bermain untuk pasukan Pahang pada awal kariernya serta menyarung jersi PKNS FC (kini dikenali sebagai Selangor II) pada 2016 hingga 2017.
Yang menarik, pada Piala Malaysia 2013, pasangan anak-beranak ini sekali lagi mencipta sejarah apabila bersama-sama menyumbang kepada kejayaan Pahang menjuarai trofi berprestij tersebut.
Ketika itu, Zainal Abidin berperanan sebagai Penolong Penguruspasukan Pahang, membantu Tok Gajahmenewaskan Kelantan 1-0. Sementara itu, Zaiza berada dalam senarai pemain simpanan, menanti peluang untuk membuat impak di atas padang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
