Tertipu tawaran kontrak bola, kiper muda Indonesia jadi mangsa pemerdagangan manusia di Kemboja


  • Podium
  • Selasa, 18 Nov 2025

Ayah Rizki Nur Fadhilah, Dedi Solehudin (kiri) dan neneknya, Imas Siti Rohanah ketika menunjukkan gambar mangsa.

SEORANG penjaga gol muda Indonesia, Rizki Nur Fadhilah dilaporkan disyaki menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Kemboja selepas menerima tawaran bermain bola sepak di Medan yang rupa-rupanya palsu.

Menurut ayahnya, Dedi Solehudin, Rizki mendapat tawaran tersebut daripada kenalan di Facebook yang mendakwa dirinya sebagai pegawai pengurusan sebuah kelab bola sepak di Medan.

Dengan harapan memulakan karier profesional, Rizki meninggalkan rumah pada 26 Oktober, dijemput menaiki kenderaan ke Jakarta sebelum dikatakan akan diterbangkan ke Medan.

BACA LAGI: [VIDEO] Perang psikologi menjadi, kiper Kanada tepis penalti lawan lepas bergayut atas palang

BACA LAGI: Tak semuanya mudah, Faisal Halim antara 3 bintang HM berjaya bangkit hadapi 'mimpi ngeri'

Penjaga gol muda Indonesia, Rizki Nur Fadhilah dilaporkan kini berada di Kemboja.

Namun, keadaan berubah selepas Rizki tiba-tiba menghubungi keluarga dan mengaku bahawa individu yang menawarkan kontrak itu hanya dikenalinya melalui Facebook.

Dedi menjelaskan bahawa setibanya di Kemboja, Rizki yang pernah bermain di Sekolah Sepak Bola (SSB) Hesebah dan mengikuti program latihan di Persib ditinggalkan begitu sahaja dan dipaksa bekerja sebagai penipu dalam talian.

Menurutnya, jika gagal mencapai sasaran mencari 'mangsa', Rizki didakwa diseksa secara fizikal.

“Anak saya disiksa setiap hari kerana tak capai target. Dia dipaksa cari 20 nombor telefon warga China yang kaya. Kalau tak dapat, dia dipukul,” kata Dedi.

Modus operandi sindiket itu adalah memaksa Rizki menyamar sebagai wanita bagi memancing mangsa warga China melakukan transaksi wang.

Rizki dipaksa bekerja dari pukul 8 pagi hingga tengah malam dan ada kalanya terpaksa meneruskan kerja melebihi waktu.

Semua maklumat tersebut disampaikan Rizki secara sembunyi-sembunyi kepada keluarganya kerana takut dihukum.

Dedi berkata, dia telah membuat laporan kepada Jabatan Tenaga Kerja (Disnaker) Kabupaten Bandung serta Balai Perlindungan Pekerja Migran Indonesia Wilayah Jata Barat (BP3MI Jawa Barat) termasuk menghubungi pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta dan Bangunan Pentadbiran Kerajaan Wilayah Jawa Barat.

Namun, sehingga kini masih tiada tindakan konkrit.

“Ini soal nyawa. Anak saya diseksa setiap hari. Saya mohon sangat bantuan pihak berkuasa,” rayu Dedi.

Kisah itu sekali lagi membuka mata dunia sukan terhadap risiko eksploitasi yang menggunakan helah tawaran karier bola sepak, memaksa keluarga dan masyarakat lebih berhati-hati terhadap peluang yang tidak mempunyai pengesahan sah. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram