Tugas getir JDT, bek Australia kembali kukuhkan benteng lawan di ACL Elite


  • Podium
  • Isnin, 24 Nov 2025

Sebahagian sesi latihan skuad Harimau Selatan menjelang aksi bertemu Melbourne City FC dalam saingan ACLE. — Facebook/JST

SKUAD Melbourne City bakal mendapat tonik penting apabila pertahanan Australia, Kai Trewin disahkan kembali tersenarai bagi aksi Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) menentang wakil Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Rectangular Melbourne pada Selasa.

Trewin sebelum ini tidak disenaraikan ketika Melbourne City tewas 1-4 kepada Adelaide United dalam saingan Liga A Australia pada Jumaat.

Pemain berusia 24 tahun itu baru tiba dari Amerika Syarikat (AS) pada hari perlawanan selepas beraksi dua kali bersama skuad Socceroos dalam tempoh tujuh hari menyebabkan ketua jurulatih, Aurelio Vidmar tidak mahu mengambil risiko menurunkannya.

BACA LAGI: Lupakan Castillejo, Hidalgo kini pilihan terbaik tampung kehilangan Arif Aiman

BACA LAGI: [VIDEO] Kontroversi gol minit akhir tak halang Syafiq Ahmad luang masa dengan bekas rakan di JDT

“Saya terpaksa diketepikan ketika bertemu Adelaide dan itu mengecewakan, tetapi memang sukar untuk bermain apabila baru tiba pada hari perlawanan.

“Saya menikmati saingan Liga Juara-Juara setakat ini, dan saya tidak sabar untuk aksi Selasa nanti. Kualiti pemain dalam kejohanan ini sangat tinggi dan saya tidak menjangkakan perlawanan yang mudah menentang JDT,” kata Trewin.

Ketiadaan Trewin jelas dirasai apabila skuad City Blues itu tumbang buat kali pertama musim ini, meskipun Adelaide bermain 10 orang selepas Dylan Pierias menerima kad merah pada babak pertama.

Pemain pertahanan Melbourne City, Kai Trewin. — Instagram/melbournecity

Di samping itu, mengulas lanjut mengenai kekalahan tersebut, Vidmar tidak berselindung dan mengakui bahawa pasukannya kekurangan semangat untuk menang.

“Kami sangat tidak kompetitif. Hanya satu pasukan yang mahu menang dan itu bukan kami. Kami tidak mahu menang, kami tidak mahu bersaing.

"Standard kami rendah, sikap kami juga lemah. Harapnya kekalahan ini menjadi titik perubahan. Perkara positifnya ialah kami ada perlawanan penting pada Selasa.

"Dua hari selepas tewas memang sukar, tetapi para pemain kini sudah kembali positif dan sedar kesilapan yang dilakukan.

"Kami perlu bangkit dan tunjukkan reaksi yang betul. Mentaliti sekarang lebih baik dan kami sedar kepentingan perlawanan ini,” tegasnya.

Melbourne City kini memburu kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan ACLE selepas mencatat dua kemenangan 2-1 masing-masing ke atas Buriram United (Thailand) dan Machida Zelvia (Jepun).

Sementara itu, JDT yang diperkuatkan dengan kehadiran bekas pertahanan Perth Glory, Shane Lowry kini mendahului Kumpulan A dengan kelebihan satu mata berbanding City.

“Mereka sebuah pasukan yang sangat baik dan berpengalaman. Ia pasti menjadi pertembungan menarik buat kami,” tambah Vidmar. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram