MESKIPUN sudah tersingkir dari pentas Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2), Selangor FC perlu meraih sekurang-kurangnya satu mata untuk menceritakan bahawa mereka layak untuk berada dalam pertandingan itu.
Harapan ke pusingan seterusnya berkecai apabila skuad kendalian Christophe Gamel tewas 2-3 kepada Persib Bandung dalam saingan Kumpulan G di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 6 November lalu.
Kekalahan itu merupakan yang keempat berturut-turut, sekali gus mengekalkan Gergasi Merah di tangga tercorot kumpulan tanpa sebarang mata.
BACA LAGI: [VIDEO] Jaring gol kemenangan sulung Sabah, sanggul rambut Daniel Ting jadi 'sasaran' lepas geram
BACA LAGI: [VIDEO] Kontroversi gol minit akhir tak halang Syafiq Ahmad luang masa dengan bekas rakan di JDT

Selangor perlu sekurang-kurangnya meraih satu mata bagi menutup cerita kempen ACL2 dengan bermaruah. — Facebook/selangorfc
Setakat ini, Selangor sudah tewas dalam empat perlawanan masing-masing kepada Bangkok United dan Lion City Sailors, selain tumbang kepada Persib Bandung dalam kedua-dua pertemuan termasuk aksi timbal balik.
Namun, meraih sekurang-kurangnya satu mata dalam baki aksi tetap memberi nilai penting buat Selangor untuk menutup kempen dengan lebih bermaruah.
Bukan itu sahaja, sekiranya mereka berjaya meraih sekurang-kurangnya satu mata dalam aksi seterusnya, Selangor tetap mampu menyumbang mata MA penting kepada ranking negara.
Walaupun sudah tersingkir, peluang Selangor untuk membawa pulang tiga mata penuh dari Bangkok tidak mustahil.
Mereka bakal berdepan Bangkok United dalam aksi timbal balik di Stadium Pathum Thani, Thailand pada Rabu selepas tewas 2-4 kepada pasukan sama di MBPJ dalam pertemuan pada 18 September lalu.

Kelincahan Faisal Halim ditagih bagi membantu Gergasi Merah mencuri sekurang-kurangnya satu mata di laman lawan. — Facebook/selangorfc
Perlawanan di Bangkok itu dianggap penentuan penting bagi merealisasikan misi mengutip mata pertama Selangor dalam kempen ACL2.
Namun, cabaran bermain di gelanggang lawan bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi rekod skuad Lembah Klang di Thailand sebelum ini tidak begitu memberangsangkan.
Dalam kempen ACL2 musim lalu, Selangor hanya mampu mengutip satu mata ketika menentang Muangthong United FC dalam aksi Kumpulan H di Stadium Rajamangala, Bangkok.
Ketika itu, Ronnie Fernandez menjaringkan gol pada minit ke-48 untuk mengikat kedudukan 1-1.
Keputusan itu menggambarkan betapa sukar perjalanan Selangor di bumi Thailand, dengan perlawanan terakhir mereka di negara Gajah Perang itu juga hanya berakhir dengan satu mata berjaya dicuri.
Begitupun, rekod tersebut sekurang-kurangnya memberi bayangan bahawa Selangor masih berpotensi mencuri mata di tempat lawan, meskipun kali ini mereka turun beraksi tanpa tekanan susulan sudah pun tersingkir daripada saingan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
