Bekas awang import Liga Super teruja redah banjir, tak peduli kaki bengkak sampai pengurus 'naik angin'


  • Podium
  • Selasa, 25 Nov 2025

Perlis FA suatu ketika dahulu memiliki penyerang yang cukup berbisa iaitu Zacharia Simukonda (depan, dua kanan).

 

 

KETIKA banjir besar 2005 kembali disebut sebagai antara tragedi paling diingati rakyat negeri Indera Kayangan, seorang penyokong setia Perlis FA, Anuar Che Ahmad turut mengimbau satu kenangan manis yang mencuit hati.

Kisah itu, katanya, tetap membuatkan dia tersenyum setiap kali banjir melanda.

Dalam perkongsian di laman Facebook, Anuar mengimbau kembali bahawa ketika air naik di seluruh negeri, skuad Singa Utara sebenarnya sedang mempamerkan prestasi terbaik, menuju era gemilang bola sepak Perlis.

BACA LAGI: Lupakan Castillejo, Hidalgo kini pilihan terbaik tampung kehilangan Arif Aiman

BACA LAGI: [VIDEO] Kontroversi gol minit akhir tak halang Syafiq Ahmad luang masa dengan bekas rakan di JDT

“Antara banjir besar yang orang Perlis tak akan lupa. Ada yang kata 2010 lagi besar, tapi itu semua ikut pengalaman masing-masing.

“Tapi 2005 ini lain, sebab waktu tu pasukan Perlis FA sedang berada di landasan menuju zaman kegemilangan,” tulisnya.

Namun di sebalik suasana cemas itu, Anuar menyimpan satu cerita lucu, melibatkan penyerang import kesayangan penyokong Perlis, pemilik jersi nombor 16 yang cukup berbisa iaitu Zacharia Simukonda.

“Di sebalik banjir itu, ada satu cerita yang sampai hari ini kalau ingat memang buat aku senyum sorang tentang si nombor 16 yang prolifik itu,” kongsi Anuar.

Simukonda merupakan antara watak penting dalam kebangkitan Perlis FA selepas membantu pasukan itu muncul juara Liga Super pada musim 2005.

Ketika kejadian, Zacharia Simukonda atau lebih mesra disapa Zack sebenarnya sedang menjalani pemulihan kecederaan pergelangan kaki.

Fisioterapi pasukan ketika itu yang dikenali sebagai Nasir memantau keadaannya setiap hari dengan rutin balut, urut dan rawatan rapi, sambil mengulang pesanan yang sama berkali-kali untuk menjaga dengan baik kecederaanya itu.

“Jangan bagi kena air lama-lama, nanti bengkak balik," kongsinya lagi.

Namun apabila air bah mula melimpah di halaman rumah penduduk, segala pesanan itu hilang begitu sahaja.

Zacharia Simukonda atau nama manjanya Pak Ya Konda yang pertama kali melihat banjir besar di Perlis tidak mampu menahan teruja.

Tanpa memikirkan kecederaan, dia meranduk air umpama budak kecil seronok bermain hujan sedangkan hanya seminggu lagi dia dijangka pulih sepenuhnya.

Seperti dijangka, tindakan itu mengundang kemarahan pengurus pasukan ketika itu, Abang Mi Bintong, yang 'meletup' apabila dimaklumkan.

Tetapi dalam masa yang sama, rakan-rakan sepasukan faham bahawa bukan selalu seorang pemain import dapat merasai pengalaman 'main air bah' di bumi Perlis.

“Sekali seumur hidup,” ujar Zack sambil ketawa, satu detik yang terus terpahat dalam memori seluruh pasukan dan penyokong seperti yang diceritakan oleh Anuar.

Penyerang berbisa Perlis FA, Zacharia Simukonda (kanan).

Zack yang merupakan import dari Zambia sudah tentu jarang menyaksikan tragedi banjir sebegitu kerana perbezaan iklim membuatkan negara Afrika itu sukar terkesan dengan bencana alam sebegitu.

Perkongsian Anuar itu bukan sekadar momen lucu, tetapi imbauan kepada keakraban, kemeriahan dan kehangatan era kegemilangan Singa Utara.

Hal ini kerana, setiap kali banjir menjengah, memori itu kembali hidup mengingatkan peminat kepada zaman riuh, mesra dan penuh warna bola sepak Perlis yang suatu ketika dahulu menguasai pentas Liga Malaysia.

Musim paling gemilang buat Simukonda hadir pada 2006 apabila dia membantu Perlis muncul juara Piala Malaysia dan turut merangkul Anugerah Kasut Emas dengan 18 jaringan.

Untuk rekod, Zack kini sudah bersara pada 2010 dengan kelab terakhirnya adalah Al-Faisaly SC yang beraksi dalam Liga Pro Jordan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram