Individu 'istimewa' berhak bergaya, pereka muda perkenal jenama fesyen khas OKU, menyerlah di pentas Minggu Fesyen London


  • Gaya
  • Selasa, 25 Nov 2025

Antara rekaan koleksi Intotum ideal digayakan golongan istimewa dan berkeperluan khas. — Instagram/@trace.photographs

SEORANG pereka muda pernah diberitahu bahawa orang kelainan (OKU) tidak perlukan fesyen. Kenyataan kedengaran negatif sedemikian membuatkan beliau marah lalu mengambil keputusan menubuhkan jenama pakaian inklusif sehingga dipamerkan di pentas Minggu Fesyen London.

Semasa masih bergelar penuntut, Hanan Tantush, 23, dari Chester, menyiapkan tugasan rekaan pakaian untuk golongan istimewa selepas melihat datuknya menghadapi kesukaran memakai seluar usai menjalani pembedahan kanser.

Tambahan pula, mendengar kenyataan sinis berkenaan sehingga membuatkan kemarahan lebih membara.

BACA LAGI: Shahida sayu hati lihat Aliff Syukri tertidur di celahan produk, setia susah senang bersama suami bina jenama

BACA LAGI: Engku Emran sebak kenang momen keluar makan berdua dengan Aleesya, meja sebelah keluarga lengkap

Tantush (kanan) mendapat inspirasi selepas datuknya, Michael Myers menghadapi kesukaran mencari pakaian sesuai kerana beg stoma yang perlu dipakai. — Agensi

Kata Tantush, walaupun industri fesyen sudah berkembang, isu kelainan upaya masih dipandang sebagai segmen kecil.

Justeru, membalas 'dendam', beliau menubuhkan jenama Intotum bermaksud 'sebagai satu kesatuan' dalam bahasa Latin yang dipamerkan pada Minggu Fesyen London (London Fashion Week) awal tahun ini.

Idea tersebut tercetus selepas Tantush menyedari datuknya, Michael Myers sukar mencari seluar ideal dipakai bersama beg stoma. Ia merupakan kantung perubatan yang dipasang pada tubuh untuk menampung sisa badan selepas pembedahan tertentu.

"Seluar lain sentiasa menggosok atau menekan kantung itu. Satu-satunya yang selesa ialah seluar jogging, tapi dia tidak suka penampilannya," uajrnya.

Datuknya yang merupakan bekas jurutera Merchant Navy, gemar mengekalkan imej kemas dengan seluar rapi, baju kemas dan kasut berkilat.

Namun, beg stoma menjejaskan gaya hidup, aksesibiliti dan pakaian beliau.

"Dia sering mengeluh kesukaran mengurus beg stoma di tandas awam, terutama ketika menonton bola.

"Lama-kelamaan dia berhenti bermain bowls, sesuatu yang dia lakukan selama 40 tahun.

"Melihat bagaimana pakaian menjejaskan keyakinannya benar-benar menyentuh hati saya," ujarnya.

Sejak itu, Tantush menumpukan perhatian pada pakaian bergaya untuk golongan berkenaan dan mereka yang berbeza keperluan dengan misi supaya rasa berkuasa, bukan dipersoalkan.

Koleksi dihasilkan termasuk trench coat dan cape mesra kerusi roda, seluar bukaan sisi, pakaian dengan butang magnetik atau Velcro serta poket tersembunyi untuk beg stoma.

Pereka tersebut menegaskan, orang ramai mahu kelihatan bergaya dan dilihat kerana pakaian bukan keadaan fizikal mereka.

Minggu Fesyen London

Kehadirannya pada acara fesyen berprestij itu memberi platform penting untuk mempamerkan rekaan inklusif di pentas antarabangsa.

Gaya fesyen dipamerkan Tantush menggabungkan konsep fesyen inklusif untuk OKU dengan elemen streetwear kontemporari.

Koleksi itu antaranya menampilkan seluar kargo denim biru muda potongan longgar, pilihan ideal bagi fesyen inklusif kerana memberi ruang maksimum untuk bergerak dan memudahkan pemakaian bagi pengguna yang menggunakan alat bantuan atau kerusi roda.

Dari segi rekaan, seluar tersebut menampilkan butiran logam yang banyak dan tersusun.

Selain itu, ada juga rekaan yang mengetengahkan pakaian pejabat kontemporari yang inklusif dengan palet warna seperti burgundy dan hitam.

Tantush berkata, pengalaman itu membuka mata ramai penggiat industri tentang keperluan fesyen yang mesra OKU sambil menegaskan bahawa fesyen adaptif bukan sekadar pakaian fungsi, tetapi juga soal keyakinan dan ekspresi diri.

Datuknya kini sering berkongsi tentang jenamanya dan tahu beliau inspirasi di sebaliknya.

Tantush turut bercadang untuk memperluas koleksi dan membuka cawangan di kedai dengan matlamat menjadikan fesyen sesuatu yang inklusif.

"Fesyen sepatutnya bantu kita tunjukkan siapa diri kita, tapi hakikatnya ia telah menutup ruang bagi satu komuniti," katanya.

Kemampuan untuk berpakaian tanpa memikirkan sekatan membuatkan pelanggan menghubunginya.

Ada yang berkata, ini kali pertama mereka berpakaian sendiri selepas bertahun-tahun bergantung bantuan.

"Itulah definisi kejayaan," tambah Hanan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram