HUKUMAN berbentuk penggantungan 12 bulan dikenakan ke atas ketujuh-tujuh pemain warisan negara memberi impak besar terhadap semua yang terlibat.
Cabaran terbesar sudah tentu terhadap masa depan masing-masing kerana pihak kelab sudah tentu enggan menampung gaji kerana mereka tidak dapat beraksi.
Tidak terhenti di situ, tempoh itu turut memberi kesan dari segi motivasi memandangkan tujuh pemain tersebut perlu mencari cara dalam mengekalkan kecergasan peribadi.
BACA LAGI: Skandal pemain warisan : Palmero pemain pertama dibatal kontrak
BACA LAGI: Berbeza jalan cerita Machuca dan Palmero, nama Garces 'hilang' dari senarai pemain kelab

Gabriel Palmero dikenakan penggantungan 12 bulan berikutan skandal pemain warisan. — Facebook/Malaysia NT
Namun, bagi mereka yang menyedari tanggungjawab sendiri, pelbagai cara dan alternatif akan diambil bagi memastikan diri masing-masing berada di tahap optimum sebaik sahaja penggantungan berakhir.
Ini termasuk bek kiri, Gabriel Palmero yang baru-baru ini menyertai larian komuniti di Sepanyol pada Sabtu lalu di wilayah Santa Cruz de Tenerife.
Acara 'Il Mila Urbana de Los Llanos de Aridane' itu dianjurkan dewan bandaraya di kawasan berkenaan dengan jarak larian ditetapkan sejauh 1.6 kilometer (km).
Ia bagaimanapun tidak memberi cabaran hebat kepada Palmero yang mudah menghabiskan perlumbaan itu selain berjaya membawa pulang dua piala seperti mana dikongsikan di laman InstaStory peribadinya.
Keputusan menyertai acara itu sekali gus membuktikan pemain berusia 23 tahun berkenaan giat mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah.
Ini merupakan satu berita baik dikongsikan bek kiri berkenaan selepas pada awal November lalu, kontraknya bersama CD Tenerife ditamatkan serta-merta.
Keputusan itu dibuat pihak pengurusan kelab Sepanyol itu kerana dia tidak dapat beraksi sehingga September 2026 berikutan skandal pemalsuan dokumen.
Selain Palmero, enam pemain lain yang dikenakan penggantungan ialah Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca dan Facundo Garces. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
