PERTAHANAN Selangor, Quentin Cheng mempamerkan aksi dominan yang begitu dirindui skuad itu sejak beberapa minggu lalu, sekali gus menghidupkan semula cabaran Liga Super Gergasi Merah dengan prestasi cemerlang pada waktu tepat.
Quentin mencipta bantuan jaringan awal dan menampilkan salah satu persembahan paling tajam musim ini ketika Red Giants menamatkan kemarau dua perlawanan tanpa kemenangan dengan menewaskan Kelantan 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, Selangor pada Sabtu.
Selangor turun dengan rekod kurang memberangsangkan sebelum itu apabila tewas 2-3 kepada kelab Indonesia, Persib Bandung dalam aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) pada 6 November dan diikat 2-2 oleh Sabah dalam separuh akhir pertama Piala FA pada 9 November.
BACA LAGI: Tak mustahil berulang, cuma Selangor II ada 'rahsia' elak dipintas saat-saat akhir macam musim lepas
BACA LAGI: [VIDEO] Bek kiri 'buangan' Selangor terus menyinar di bumi Filipina, bantu kelab menang besar 7-1
Menentang Kelantan, Quentin yang mesra dipanggil Q mengembalikan rentak permainan pasukan apabila beliau melakukan hantaran yang membawa kepada jaringan pembukaan Alvin Fortes pada minit ke-20.
Penyerang Brazil, Chrigor Moraes menambah gol kedua pada minit ke-54 dan pasukan Lembah Klang itu menutup perlawanan dengan selesa bagi mengutip tiga mata penting.
Kemenangan berkenaan melonjakkan Red Giants ke tangga keempat liga dengan 16 mata, di belakang Kuala Lumpur dan Kuching City.

Bek kanan Gergasi Merah, Quentin Cheng. — Facebook/SelangorFC
"Rasa sangat baik bila dapat menang semula, lebih-lebih lagi di hadapan penyokong.
"Ia adalah persembahan mantap daripada semua pemain dan inilah tonik yang kami perlukan untuk perlawanan akan datang.
"Dan bagus juga apabila saya dapat bantuan jaringan untuk gol pertama," tambahnya yang kini mengumpul enam assist dalam semua pertandingan, paling banyak dalam pasukan musim ini.
Sementara itu, ketua jurulatih Gergasi Merah iaitu Christophe Gamel berkata, pasukan sepatutnya boleh lebih garang meskipun memperoleh kemenangan.
"Berdasarkan perancangan permainan kami, sepatutnya kami boleh menjaringkan lebih banyak gol. Kami boleh lebih tepat dalam penyudahan, tetapi kemenangan tetap kemenangan dan saya bersyukur kami capai tujuan itu.
"Untuk kembali menang selepas dua keputusan mengecewakan sebelum ini memang baik, tetapi masih banyak kerja perlu dilakukan untuk menjadi lebih baik," jelasnya.

Ketua Jurulatih Gergasi Merah, Christophe Gamel. — Facebook/SelangorFC
Gamel kini memberi tumpuan kepada separuh akhir kedua Piala FA menentang Sabah pada Ahad di Stadium Petaling Jaya.
"Sabah lebih fizikal. Bila kami jaringkan gol, mereka akan kembali, itu yang kita lihat pada aksi pertama tempoh hari.
"Saya mahu pastikan pemain tersedia untuk perlawanan penting ini. Kami mahu berada di final untuk musim kedua berturut-turut," jelasnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
