Bekas tonggak Sabah-Johor 'lupakan' seketika kempen PRN Sabah, hadiri majlis konvokesyen UTM


  • Massa
  • Isnin, 24 Nov 2025

Saimpon memulakan kerjaya bola sepaknya bersama pasukan Sabah dalam Liga Perdana pada 1997.

CALON Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bagi kerusi Kiulu, Henry Saimpon berehat seketika daripada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi menghadiri majlis konvokesyennya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor.

Anak jati Kiulu berusia 50 tahun itu menerima Ijazah Sarjana Sains Politik selepas sebelumnya menamatkan pengajian diploma dalam bidang yang sama di universiti tersebut.

"Saya bersyukur selepas bertungkus-lumus selama beberapa tahun, akhirnya saya berjaya menamatkan program sarjana ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para pensyarah atas tunjuk ajar, ilmu dan galakan yang diberikan," katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] PRN Sabah: Saddil, Jai bergabung 'promote' bekas ahli SAFA bertanding di DUN Melalap

BACA LAGI: DUN Sabah bubar, PRN ke-17 dijangka berlangsung Disember

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada keluarganya atas sokongan dan pengorbanan mereka, sambil berharap kejayaan itu menjadi inspirasi untuk meneruskan kecemerlangan, termasuk dalam dunia politik.

Sebelum menyertai politik pada 2018, Saimpon aktif dalam pengurusan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan KDM Malaysia.

Beliau kini berkhidmat sebagai timbalan presiden persatuan berkenaan.

Saimpon memulakan kerjaya bola sepaknya bersama pasukan Sabah dalam Liga Perdana pada 1997.

Saimpon kini berdepan saingan lapan penjuru dalam PRN Sabah. — Facebook

Beliau kemudian menyertai Johor FC pada 2002 sebelum kembali ke Sabah dari 2004 hingga 2009.

Pada 2019 hingga 2020, beliau dilantik sebagai pengurus pasukan bola sepak Sabah.

Di bawah pengurusannya, Sabah menjuarai Liga Perdana dan layak ke Liga Super.

Penglibatan politiknya semakin berkembang selepas 2018, dan beliau dilantik sebagai naib presiden KDM pada 2023.

Ketika itu, KDM diterajui oleh Datuk Peter Anthony yang kini sedang menjalani hukuman penjara.

Baru-baru ini, Saimpon melancarkan tujuh teras manifesto untuk pengundi Kiulu.

Antara fokus tersebut termasuklah pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam, pemerkasaan sektor pertanian serta pemilikan tanah untuk penduduk tempatan.

Ia turut merangkumi usaha mempercepatkan sistem PANTAS, memperkasa pembangunan sukan, merancakkan ekonomi termasuk eko pelancongan, serta meningkatkan aspek pendidikan dan kebajikan.

Selain itu, turut ditekankan pemerkasaan adat serta budaya tempatan sebagai identiti masyarakat Kiulu. — The Star/STEPHANIE LEE

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram