SEORANG juruterbang dilaporkan maut selepas pesawat pejuang buatan India, Tejas terhempas ketika pertunjukan udara sempena Pameran Udara Dubai di Lapangan Terbang Antarabangsa Al Maktoum pada Jumaat.
Berdasarkan laporan agensi media antarabangsa, pesawat berkenaan terbang pada ketinggian rendah sekitar pukul 2.15 petang (waktu tempatan) sebelum menjunam dan meletup.
Rakaman di lokasi yang tular sejak kejadian itu memaparkan asap hitam tebal menjulang di kawasan landasan berpagar.
BACA LAGI: [VIDEO] Nahas helikopter California, saksi dengar bunyi aneh sebelum terhempas
Insiden berkenaan disahkan pihak Unit Udara India (IAF) di media sosial menyatakan juruterbang mengalami kecederaan serius sebelum disahkan meninggal dunia.
"IAF turut bersimpati akan pemergian mangsa dan akan terus memberi sokongan kepada keluarganya sepanjang tempoh sukar ini," katanya sambil menyatakan punca dalam siasatan.
Menurut kenyataan saksi di lokasi, pesawat itu terhempas sehingga menggegarkan lapangan terbang tersebut menjelang acara penerbangan yang diadakan setiap dua tahun dengan seramai 150,000 pengunjung dijangka hadir.
Ini bukanlah kali pertama insiden melibatkan kapal terbang tempur itu berlaku apabila pada Mac tahun lalu, sebuah lagi pesawat turut terhempas ketika mengadakan sesi latihan.
Bagaimanapun, insiden berkenaan tidak meragut nyawa juruterbang yang sempat melepaskan diri sebelum ia terhempas dan musnah dalam kejadian itu.
Pesawat Tejas merupakan kapal terbang tempur buatan India yang dihasilkan Hindustan Aeronautics Limited (HAL) dengan kecanggihan teknologinya mampu meningkatkan tahap kemajuan teknologi berkenaan di negara itu.
Malah, pada September lalu, Kementerian Ketenteraan India menandatangani kontrak dengan pengeluar pesawat itu untuk menghasilkan 97 model baharu yang dijangka siap pada 2027. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
