Boleh saman FAM, cuma 7 pemain warisan tak jamin menang — Peguam


  • Podium
  • Ahad, 23 Nov 2025

(Dari kiri) Rodrigo Holgado, Jon Iranzabal, Joao Figueiredo dan Imanol Machuca bergambar semasa latihan. — Facebook/MalaysiaNT

 

 

PEGUAM sukan, Richard Wee menjelaskan tujuh pemain yang terlibat dalam skandal dokumen palsu mungkin mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa sebarang tuntutan sedemikian akan sangat sukar untuk menang dan berpotensi mendatangkan kesan sebaliknya kepada kesemua pemain terbabit.

Richard, salah seorang pengamal undang-undang sukan di Malaysia dan juga arbitrator bagi Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) berkata, para pemain boleh mencuba untuk menyaman FAM atas dakwaan kecuaian dalam mengendalikan dokumen mereka yang diserahkan kepada FIFA.

BACA LAGI: Skandal pemain warisan: FAM tetap bawa kes ke CAS, komited tegakkan keadilan

BACA LAGI: Kes 7 pemain warisan dibawa ke CAS, Yusoff Mahadi sahkan sudah mohon alasan bertulis

"Adalah mungkin mereka boleh mendakwa bahawa FAM cuai dalam menguruskan penyerahan dokumen mereka. Tetapi ia akan menjadi kes yang sempit dan sukar untuk dibuktikan," katanya.

Beliau menambah bahawa perkara sebaliknya boleh berlaku dengan FAM boleh memulakan tindakan terhadap pemain dengan mendakwa penipuan maklumat.

"FAM boleh berkata: kamu mendakwa mempunyai warisan Malaysia, kamu kata datuk nenek kamu orang Malaysia, tetapi rupa-rupanya bukan. Kamu telah menyesatkan kami," jelasnya.

Menurutnya, kedua-dua pihak juga mungkin mengambil tindakan terhadap ejen yang terlibat kerana semua pihak sudah mula menuding jari kepada perantara.

Bagaimanapun, Richard memberitahu bahawa perang undang-undang antara FAM, pemain dan ejen hanya akan membuat semua pihak kelihatan seperti putus asa dan tidak menguntungkan sesiapa.

Richard juga menekankan satu dimensi yang kurang diberi perhatian iaitu tanggungjawab jenayah.

Memandangkan kesemua tujuh pemain bola sepak kini warganegara Malaysia, mereka tertakluk di bawah undang-undang jenayah Malaysia.

Polis boleh menyiasat mereka di bawah Kanun Keseksaan untuk kesalahan berkaitan pemalsuan. FAM juga boleh terlibat bergantung pada hasil siasatan," ujarnya.

Berkaitan keputusan motivasi jawatankuasa rayuan FIFA yang mengekalkan tindakan tegas terhadap FAM dan pemain, Richard berkata keputusan itu sangat teliti dan rayuan dikendalikan oleh peguam berpengalaman, termasuk bekas penasihat kepada Presiden Amerika Syarikat terdahulu, Barack Obama.

FAM difahamkan membawa kes berkenaan ke CAS.

Beliau menekankan bahawa jawatankuasa itu meneliti setiap penyerahan, dari setiausaha agung FAM yang digantung,penggantungan itu digambarkan oleh FIFA sebagai 'gimik publisiti' hingga sijil kelahiran yang kontroversi.

Walaupun jawatankuasa mengakui bahawa Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia mengeluarkan dokumen kelahiran sementara, ia menegaskan bahawa sesiapa yang menyediakan dokumen asal kepada JPN bertanggungjawab atas dokumen yang tidak lengkap atau palsu.

Richard berkata,inti keputusan terletak pada kebergantungan FIFA terhadap prinsip tanggungjawab mutlak dan standard bukti undang-undang sukan yang dikenali sebagai 'kepuasan selesa'.

"Walaupun FAM atau pemain mendakwa tidak bersalah, dokumen itu sendiri adalah palsu.

"Di bawah Artikel 22, itu mencetuskan tindakan tatatertib. Niat tidak penting – manfaat yang diperoleh yang diambil kira," jelasnya.

Beliau menambah bahawa arbitrator sukan hanya perlu berpuas hati dengan selesa bahawa salah laku berlaku,satu ambang antara mahkamah jenayah dan sivil.

Jawatankuasa rayuan meneliti setiap pemain secara individu dan mengeluarkan keputusan terhadap FAM yang digambarkan Richard sebagai sangat memalukan.

Peguam sukan, Richard Wee.

Richard percaya FAM menghadapi laluan sukar dalam rayuan yang dirancang ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

"Panel CAS terdiri daripada peguam sukan khusus yang mungkin mempertimbangkan hujah teknikal," katanya.

Beliau menjangkakan FAM mungkin bergantung pada tafsiran teknikal, berkemungkinan berhujah bahawa dokumen yang dikeluarkan oleh pendaftaran nasional adalah dokumen kerajaan yang sah dan tidak sepatutnya tertakluk di bawah Artikel 22.

Namun, beliau menasihati agar tidak membuat spekulasi dan berkata orang awam seharusnya hanya menjangkakan pembelaan secara teknikal.

Richard menutup kenyataannya dengan menyeru agar wujud akauntabiliti, dan menggambarkan episod ini sebagai kegagalan kolektif.

"Reputasi negara kita dipertaruhkan. Penaja, media, pegawai asing akan memandang kita secara berbeza.

"Kenapa kita berada dalam keadaan ini? Di mana rasa bangga kita? Di mana maruah kita?" tutupnya. — The Star/T. AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram