PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sabah yang ke-17 semakin hangat apabila rata-rata pengundi semakin berdebar selepas hari penamaan calon berlangsung pada Sabtu lalu.
Proses berkempen juga dilihat kian rancak apabila bendera parti terus dikibarkan di hampir setiap penjuru, baik di kawasan pedalaman mahupun bandar-bandar.
Pelbagai pendekatan dan cara lain turut diguna pakai, terutamanya di media sosial dalam memastikan calon pilihan semakin dikenali dalam kalangan pengundi.
BACA LAGI: Pengalaman Liga M bikin Saddil yakin Persib mampu 'kerjakan' Selangor di MBPJ
BACA LAGI: [VIDEO] Seperti tak gembira di Persib, tiba masanya Selangor pantas sambar Saddil
Cara itu kelihatannya diaplikasikan calon Bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap, Gabriel George Tulas dengan bantuan dua bekas pemain Sabah FC, Saddil Ramdani dan Rizal Ghazali.
Hebahan berkenaan dibuat menerusi akaun TikTok Nik 892022 memaparkan kedua-duanya mempromosikan calon terbabit menerusi dua video berbeza.
"Hi semuanya warga Tenom. Saya Saddil, jangan lupa sokong calon Bebas No 1, Gabriel George Tulas," kata Saddil dalam video berdurasi 34 saat.
"Hi, salam sejahtera buat warga Tenom. Jangan lupa undi calon Bebas No 1, Gabriel George Tulas. Onsoi bosku," kata Rizal menerusi rakaman berbeza.
Berdasarkan semakan, calon berkenaan pernah memikul peranan sebagai Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) cawangan Tenom pada 2023.
Selain itu, semakan di Facebook mendapati Gabriel turut terlibat dalam pembangunan bakat belia buat Sabah FC, namun tidak dipastikan sama ada peranan berkenaan masih dipikul atau sebaliknya.
Kedua-dua bekas tonggak skuad Sang Badak itu mempunyai sentimen cukup hebat buat penduduk di negeri Borneo berkenaan apabila mewakili pasukan tersebut pada zaman kejayaannya.
Persaingan di DUN Melalap pada PRN Sabah kali ini menyaksikan perebutan sembilan penjuru bagi mengisi kekosongan ditinggalkan calon Warisan, Peter Anthony. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
