Kes 7 pemain warisan dibawa ke CAS, Yusoff Mahadi sahkan sudah mohon alasan bertulis


  • Podium
  • Sabtu, 15 Nov 2025

Tujuh pemain warisan tanah air dikenakan denda RM10,000 serta digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya mengesahkan bahawa badan induk itu bersama tujuh pemain warisan negara akan membawa rayuan mereka ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Perkembangan terbaharu itu dimaklumkan Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi menerusi laporan pemerhati bola sepak tanah air, Zulhelmi Zainal Azam.

Perkongsian di platform X Zulhelmi itu juga sekali gus menjawab persoalan mengenai pendirian FAM selepas rayuan mereka ditolak Jawatankuasa Rayuan FIFA awal November lalu.

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Biar kebenaran didedahkan’, Sultan Abdullah tuntut kebangkitan FAM, jadikan peringatan

BACA LAGI: Risau hantar ke CAS, FAM akan digantung — Bekas Setiausaha Agung AFF

Sebelum ini, pelbagai spekulasi timbul apabila ramai tertanya-tanya sama ada FAM akan meneruskan perjuangan di CAS atau akur dengan keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarbangsa (FIFA).

Namun, Yusoff mengesahkan badan induk bola sepak tanah air berkenaan telah mengambil langkah rasmi untuk menggerakkan proses rayuan ke peringkat lebih tinggi.

Menurutnya, FAM telah membuat permohonan alasan bertulis dalam tempoh 10 hari yang ditetapkan Jawatankuasa Rayuan FIFA susulan keputusan badan itu pada 3 November lalu.

“CAS on! Datuk Wira Yusoff Mahadi sahkan FAM sudah memohon alasan bertulis dalam tempoh 10 hari seperti yang ditetapkan sebaik keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA diumumkan pada 3 November lalu,” kata Zulhelmi.

CAS kini menjadi saluran terakhir buat FAM dan tujuh pemain warisan negara untuk mencabar hukuman yang dikenakan FIFA, sekali gus menentukan hala tuju isu yang telah mencetuskan perhatian besar dalam kalangan penyokong tanah air.

Terdahuulu, FIFA memaklumkan pihaknya mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang mendapati FAM dan tujuh pemain berkenaan melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).

Susulan keputusan itu, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.9 juta) kepada FIFA.

Manakala, tujuh pemain terbabit iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel masing-masing dikenakan denda CHF2,000 (RM10,000) serta digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram