SERAMAI 25 pemain telah dipilih bagi menyertai kem latihan pusat skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan kendalian Ketua Jurulatih, Nafuzi Zain bermula Selasa (25 November) hingga 4 Disember ini.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan skuad tersebut dijadual berangkat ke Songkhla, Thailand pada 5 Disember bagi menghadapi cabaran Temasya Sukan SEA yang berlangsung dari 7 hingga 18 Disember 2025.
Menurut FAM, Harimau Muda akan mengadakan dua aksi persahabatan tertutup sebagai persiapan akhir sebelum berlepas ke Thailand.
BACA LAGI: Jangan bunuh bola sepak kita — Safee Sali

Seramai 25 pemain telah dipanggil ke kem pusat skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan kendalian Ketua Jurulatih, Nafuzi Zain. — Facebook/Malaysia NT
Senarai pemain kali ini turut menyaksikan Nafuzi memanggil dua pemain yang baru sahaja memperkuat skuad senior ketika aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada 18 November lalu iaitu Ubaidullah Shamsul Fazili dan Alif Izwan Yuslan.
Kehadiran dua penyerang muda, Fergus Tierney dan Haqimi Azim juga dijangka menambah bisa pada jentera serangan skuad kebangsaan.
Bagaimanapun, di sebalik kehadiran barisan pemain yang dianggap mempunyai potensi besar, timbul suara-suara sumbang dalam kalangan penyokong yang meramalkan cabaran sukar buat skuad kendalian Nafuzi berdasarkan keputusan-keputusan terdahulu.
Sebelum ini, Malaysia gagal mara ke Piala Asia B-23 2026 selepas tewas 1–2 kepada tuan rumah, Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan F di Stadium Thammasat, Pathum Thani sekali gus menamatkan kempen kelayakan di tangga ketiga dengan tiga mata.

Ubaidullah (kiri) antara pemain yang dipanggil untuk memperkukuh benteng pertahanan skuad Harimau Muda. — Facebook/Malaysia NT
Kemenangan besar 7–0 ke atas Mongolia menjadi satu-satunya kemenangan selepas dua perlawanan lain berakhir dengan kekalahan.
Skuad Harimau Muda turut berdepan nasib sama dalam Kejohanan Piala Asean B-23 di Jakarta dua bulan sebelumnya apabila gagal melepasi peringkat kumpulan berada di belakang Indonesia dan Filipina.
“Tengok nama-nama pemain ini macam sudah boleh jangka tak akan ke final, nak ke semi pun macam payah,” kata albertfrankey_official.
“Ermm...nampak gaya sekadar pelengkap jadual sajalah,” ujar Ri Zam pula.
“Ini saja aksi harapan selepas tahu Piala Asia sudah terlepas, tapi bila tengok senarai pemain, tak nak letak harapan tinggi lah,” kata Kario Al Amin.
Untuk rekod, Malaysia diundi dalam Kumpulan B dan bakal berdepan musuh tradisi, Vietnam dan Laos dalam Temasya Sukan SEA kali ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
