MESKIPUN Johor Darul Ta'zim (JDT) kerap membawa masuk perancang pasukan, rata-rata penyokong seakan-akan sukar melupakan khidmat pemain dari Argentina, Leandro Velazquez.
Namanya pertama kali mekar di bibir peminat selepas menjadi watak penting dengan menjaringkan gol sulung dalam kemenangan skuad Harimau Selatan dalam perlawanan akhir Piala AFC 2015.
Dia kemudiannya dilepaskan JDT dan menyertai kelab di Mexico dan Amerika Selatan sebelum khidmatnya kembali ditagih pada 2019 bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan.
BACA LAGI: Kasih kekal bertaut, 3 bekas bintang JDT termasuk Leandro masih dirindui fans
BACA LAGI: Posting TMJ bikin fans main teka-teki, Leandro Velaquez kembali ke JDT dengan status baharu?

Leandro mengecapi pelbagai kejayaan sepanjang beraksi buat skuad Harimau Selatan. — Instagram/Leandro Velazquez
Tempoh keduanya bersama kelab Selatan tanah air itu jelas membawa impak besar apabila Leandro semakin matang dari segi permainan dengan umpanan cantik kerap ditampilkan.
Tidak cukup dengan itu, karakter pemain berkenaan juga mempunyai tarikan tersendiri kerana dia kerap melakukan serangan psikologi ke arah pihak lawan dengan harapan pengadil akan memberi hukuman.
Ini membuatkan Leandro semakin disayangi penyokong JDT yang sehingga hari ini beranggapan tiada pemain boleh mengisi kekosongan ditinggalkannya secara mengejut pada 2024.
Bagaimanapun, apa yang lebih menghairankan adalah apabila pemain berusia 36 tahun itu tidak menyertai mana-mana pasukan walaupun masih boleh beraksi untuk sekurang-kurangnya semusim lagi.
Meskipun terdapat khabar angin mengatakannya akan menyertai kelab sekitar Argentina, semakan mendapati Leandro hanya berstatus ejen bebas tanpa mengumumkan persaraan.
Namun, selepas hampir dua tahun tidak beraksi, bekas tonggak JDT itu sekali lagi kembali ke atas padang dengan menyertai Area Sport Team FC yang beraksi dalam liga sosial Argentina.
Perkara tersebut dikongsikan pemain tersebut sendiri menerusi Instastory peribadinya memaparkannya menyempurnakan sepakan penalti yang memastikan kemenangan buat pasukannya ke atas Bidonaccio FC pada Sabtu lalu.
Kelincahan Leandro turut dikongsikan penganjur liga, Copa Potrero yang memaparkan pemain terbabit menggelecek pihak lawan sebelum pergerakannya dipatahkan penjaga gol.
Menariknya, padang di mana bekas perancang JDT tersebut beraksi berada dalam keadaan kurang terurus, tidak seperti mana pernah disaksikannya ketika di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.
Bagaimanapun, peluangnya beraksi di hadapan komuniti sudah cukup untuk melakar senyuman, lebih-lebih lagi selepas bermusim-musim tidak mempamerkan kebolehan dimilikinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
