Contohi JDT dan Selangor, Kuching City boleh tinggalkan legasi besar di Bumi Kenyalang


  • Podium
  • Selasa, 18 Nov 2025

Skuad The Cats boleh terus diingati dalam arena bola sepak tempatan, khususnya di Sarawak.  — Facebook/Kuching City FC

TIGA tahun yang cukup bermakna buat Kuching City FC ketika ini apabila mereka membuktikan perkembangan konsisten di dalam dan di luar padang.

Sekiranya dinilai melalui prestasi pasukan, kelab Borneo itu sudah membuktikan diri sebagai pencabar dengan melangkah ke separuh akhir Piala FA di samping menduduki tangga ketiga Liga Super.

Pencapaian itu turut dikecapi dengan campuran bintang lokal dan import, namun kredit masih perlu diberikan kepada pemain tempatan yang tidak putus memberi sumbangan.

BACA LAGI: Berani bersaing menentang JDT, legenda Sarawak yakin Kuching City masih mampu ke final Piala FA

BACA LAGI: Yann Mabella perlukan sebulan untuk pulih, sasar turun aksi lawan Kuching City

Skuad The Cats beraksi dalam Liga Perdana kira-kira empat musim lalu. Facebook/Kuching City FC

Di luar padang pula, Kuching City FC membuktikan kemampuan menarik penaja besar seperti Press Metal Bintulu Sdn Bhd, TVS serta Lea Sports Centre sebagai pembekal rasmi pakaian.

Ini membuktikan skuad The Cats sudah mempunyai nilai tersendiri selepas kira-kira tiga musim lalu beraksi di liga bawahan tanpa sebarang reputasi.

Bagaimanapun, sekiranya kelab itu mahu meninggalkan legasi di bumi Kenyalang, masih terdapat pelbagai cara untuk memastikan skuad The Cats terus mekar di ingatan peminat.

Salah satu cara terbaik adalah dengan menjadi platform untuk pemain berbakat sekitar Sarawak menembusi pasaran Liga Super yang semakin sukar saban tahun.

Melihat kepada skuad The Cats ketika ini, hanya Jimmy Raymond yang berasal dari negeri itu kerap diberi peluang ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak kerana konsistensinya.

Jimmy Raymond merupakan kebanggaan peminat bola sepak di Sarawak ketika ini. Facebook/Kuching City FC

Sementara itu, nama-nama seperti Shamie Iszuan, Filemon Anyie serta Alif Hassan semakin sukar untuk meraih minit permainan kerana persaingan hebat dalam setiap posisi.

Umum mengetahui bahawa Aidil Sharin hanya akan memberi peluang buat pemain yang layak tanpa mengambil kira latar belakang dengan pendekatan itu menjadi tunjang di sebalik kejayaannya.

Namun, Kuching City FC masih boleh memberi ruang buat pemain berpotensi sekitar Sarawak dengan menyediakan barisan kejurulatihan terbaik buat skuad Piala Presiden dan Piala Belia.

Jika tidak mempunyai model jelas untuk berbuat demikian, skuad The Cats boleh mencontohi pelan kerap diterapkan kelab ternama negara seperti Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC.

Cara begitu boleh dikatakan sukar diterapkan pada peringkat awal kerana demografi di Sarawak yang luas menyukarkan usaha pihak kejurulatihan dan pengurusan.

JDT tidak pernah mengambil mudah mengenai pembangunan bakat muda. FAM

Bagaimanapun, sekiranya tidak dimulakan, Kuching City FC akan terus kehilangan bakat tempatan yang boleh diketengahkan jika diberi peluang mendalam.

Malah, jika diberikan platform mencukupi, tidak mustahil sekiranya kelab itu akan dibarisi lebih ramai pemain kelahiran Sarawak pada masa akan datang.

Selain itu, kempen komuniti secara meluas dengan peminat boleh mewujudkan hubungan lebih istimewa antara pasukan dan penyokong yang secara tidak langsung dapat menarik lebih ramai peminat ke stadium.

Pendekatan sedemikian kerap dilakukan pasukan ternama seperti Selangor FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) sebagai tanda penghargaan buat peminat setia.

Rancangan ringkas seperti melawat penyokong cilik di sekolah atau mana-mana peminat setia yang sakit sudah cukup membuktikan bagaimana mereka cukup dekat dengan komuniti.

Selangor FC kerap melakukan program komuniti di sekolah. Facebook/SK Damansara Utama

Langkah terakhir untuk memastikan Kuching City FC kekal relevan untuk tempoh jangka masa panjang merupakan konsistensi yang sukar dikecapi hari ini.

Pelan pembangunan kelab tersebut perlu dikekalkan buat bermusim-musim lamanya dalam memastikan sokongan berterusan dapat disemai dan dikekalkan.

Kuching City FC dilihat berada dalam landasan tepat ketika ini kerana tiada sebarang isu berbangkit dengan mereka mula meraih populariti di dalam dan di luar padang.

Jika berjaya mengikut setiap langkah di atas, tidak mustahil sekiranya skuad The Cats akan meninggalkan impak dan legasi cukup besar dalam arena bola sepak tanah air. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram