PENGENDALI Harimau Malaya, Peter Cklamovski melaungkan pujian buat anak-anak buahnya hasil kemenangan penting ke atas Nepal dalam Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur (KL) pada Selasa.
Keputusan tersebut memastikan peluang negara untuk layak ke pertandingan itu kekal cerah dengan mereka kini kekal di tangga teratas Kumpulan F.
Jurulatih dari Australia tersebut turut menegaskan pasukannya akan terus memberi tumpuan penuh menjelang aksi penentu berdepan Vietnam di tempat lawan pada 31 Mac depan.
BACA LAGI: Jodoh Cklamovski bersama Harimau Malaya masih kuat, katanya takkan terlerai selepas jumpa Nepal
BACA LAGI: Tak terkesan ‘rumors’ tinggalkan HM, Cklamovski tekad terus bantu skuad kebangsaan

Skuad kebangsaan memastikan peluang layak ke Piala Asia 2027 terus cerah. — Facebook/Malaysia NT
"Saya mahu nikmati momen ini dan tahun yang kami hadapi. Apa yang berjaya kami kecapi dengan meraih kemenangan pada Selasa sudah lama tidak dicatatkan pasukan ini untuk bertahun-tahun lamanya.
"Ini kerana mungkin tiga dekad atau lebih 40 tahun sejak pasukan negara tidak mengalami kekalahan untuk beberapa tahun. Saya harap ia cukup membanggakan orang ramai," katanya.
Cklamovski mengekalkan rekod tanpa kalah sejak dilantik pengendali Harimau Malaya pada Januari lalu dengan tujuh kemenangan dan satu keputusan seri dicatatkan.
Prestasi cemerlang itu bukan sahaja membolehkan peluang negara layak ke Piala Asia 2027 semakin cerah, namun turut menaikkan kedudukan dalam ranking FIFA.
"Kredit perlu diberikan kepada pemain yang mempercayai gaya permainan yang saya berpandangan wajar diperkatakan. Jadi, saya harap lebih ramai membuat ulasan mengenainya.

Isu melibatkan FAM dan FIFA tidak menjejaskan fokus Cklamovski bersama skuad kebangsaan. — FAM
Pengendali berusia 47 tahun itu turut menegaskan isu luar padang dialami Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan skuad kebangsaan tidak menjejaskan projek jangka masa panjang buat Harimau Malaya.
Malah, dia juga tidak mahu memikirkan senario yang mungkin dihadapi pasukan negara meskipun terdapat risiko hukuman susulan bakal diberikan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mahupun FIFA.
"Kita sekarang berada di tangga teratas tanpa sebarang kekalahan. Pasukan ini tidak pernah mengungguli carta. Jadi, ketika ini, tiada apa-apa perubahan.
"Fokus saya ketika ini adalah mengenai aksi berdepan Nepal dan memenanginya buat Malaysia. Selepas itu, kita akan melakukan analisis untuk menjadi lebih baik," katanya lagi.
Hukuman dikenakan FIFA berkemungkinan akan menjejaskan harapan negara untuk ke Piala Asia akan datang kerana ketujuh-tujuh pemain digantung beraksi ketika berdepan Vietnam dalam kempen kelayakan.
AFC kini masih menunggu keputusan akhir berhubung skandal itu dengan FAM kini dilaporkan sedang dalam proses membawa kes terbabit ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS). — The Star/T AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
