'Motivated decision' FIFA didedahkan, FAM ada 21 hari ke CAS


  • Podium
  • Selasa, 18 Nov 2025

FIFA mengekalkan semua hukuman yang telah ditetapkan sebelum ini.  — Facebook/MalaysiaNT

JAWATANKUASA Rayuan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menolak rayuan yang dikemukakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan selepas meneliti keseluruhan bukti serta hujahan dalam prosiding berkaitan kes pemalsuan dokumen.

Dalam keputusan bertulis yang dikeluarkan, badan itu menegaskan bahawa kes berkenaan merupakan pelanggaran serius di bawah Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC), sekali gus mengekalkan semua hukuman yang telah ditetapkan sebelum ini.

Hukuman terhadap FAM iaitu denda sebanyak CHF350,000 (RM1.9 juta) dikekalkan sepenuhnya, sementara tujuh pemain terbabit turut mengekalkan hukuman masing-masing, termasuk denda CHF2,000 (RM10,000) serta penggantungan selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.

BACA LAGI: Gagal kawal nafsu dan baran, FAM ada sejarah gantung 2 pemain Liga M seumur hidup

BACA LAGI: 'Kembalilah Tuanku', skandal FAM buatkan ramai 'pujuk' Al-Sultan Abdullah kembali terajui bola sepak negara

Dalam rayuannya, FAM mempertahankan bahawa isu berkenaan berpunca daripada kesilapan teknikal dan pentadbiran termasuk kekeliruan antara salinan dokumen tidak rasmi yang diperoleh melalui ejen dengan salinan rasmi daripada pihak berkuasa pendaftaran. 

Kesilapan memuat naik dokumen ke sistem FIFA juga didakwa berlaku tanpa unsur niat.

Namun, jawatankuasa mendapati bukti yang diteliti menunjukkan adanya dokumen yang telah diubah suai, terutamanya sijil kelahiran datuk atau nenek pemain yang tidak sepadan dengan rekod sebenar. Ketidaktepatan ketara itu menjadi asas utama penolakan rayuan.

FIFA menegaskan bahawa proses menentukan kelayakan pemain bukan sekadar urusan pentadbiran, tetapi suatu prinsip asas untuk melindungi integriti pertandingan antarabangsa. 

Badan itu turut memaklumkan bahawa FAM telah menerima penjelasan terperinci melalui 'motivated decision', dan masih mempunyai ruang membawa kes ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Tangkap layar dokumen dikeluarkan FIFA.

Dalam penutup keputusannya, jawatankuasa itu menekankan bahawa pemalsuan dokumen merupakan perbuatan yang mencemarkan kredibiliti bola sepak antarabangsa. 

Percubaan mengemukakan dokumen yang dipalsukan bagi mengelirukan badan pentadbir dianggap pelanggaran integriti yang serius, justeru tiada asas untuk membatalkan hukuman asal.

Kos prosiding turut diarahkan ditanggung bersama oleh semua perayu mengikut Artikel 49 Kod Tatatertib FIFA (FDC), selain beberapa arahan tindakan lanjut.

Antara langkah utama yang diperintahkan ialah satu siasatan rasmi terhadap operasi dalaman FAM, termasuk mengenal pasti individu yang bertanggungjawab memalsukan dokumen serta menilai tahap keberkesanan mekanisme tadbir urus badan itu. 

Siasatan akan memberi tumpuan khusus kepada peranan Setiausaha Agung FAM serta dua ejen berlesen FIFA, Nicolas Puppo dan Frederico Moraes, yang dinamakan dalam prosiding.

FAM masih mempunyai ruang membawa kes ke CAS.

Jawatankuasa turut mengarahkan siasatan berasingan terhadap penggunaan pemain tidak layak dalam tiga perlawanan persahabatan, bagi menentukan sama ada tindakan tambahan perlu dikenakan.

Dalam masa sama, FIFA mengarahkan Sekretariat memaklumkan pihak berkuasa jenayah di Brazil, Argentina, Belanda, Sepanyol dan Malaysia agar siasatan jenayah dapat dijalankan mengikut undang-undang negara masing-masing, memandangkan kes melibatkan pemalsuan dokumen rasmi.

Keputusan itu bukan hanya mengekalkan hukuman asal, tetapi turut membuka laluan kepada siri penyiasatan baharu di peringkat domestik dan antarabangsa, sekaligus memberi isyarat tegas terhadap pelanggaran integriti dalam bola sepak dunia. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram