KEHIDUPAN tujuh pemain warisan terus menjadi tumpuan selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menolak rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kes pemalsuan dokumen.
Tujuh pemain terbabit iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel, kini berdepan masa depan yang berbeza-beza bergantung kepada situasi kelab masing-masing.
Setakat ini, beberapa pemain seperti Palmero dan Holgado dilaporkan sudah dilepaskan oleh kelab mereka susulan keputusan FIFA itu, manakala lima lagi pemain difahamkan masih kekal bersama pasukan masing-masing buat masa ini.
BACA LAGI: Bintang warisan optimis terlepas penggantungan FIFA, kembali beraksi bersama kelab
Namun, masa depan mereka tetap samar termasuk Machuca, yang dilihat sudah bersedia memulakan hidup baharu andai Velez Sarsfield dan kelab majikannya, Fortaleza memutuskan untuk menamatkan kontraknya.
Spekulasi itu semakin kuat selepas Machuca memuat naik satu foto lamanya di Insta Story pada Isnin yang menunjukkan dia beraksi bersama kelab Liga 4 Argentina, Club El Porvenir.
Walaupun tanpa sebarang kapsyen, hantaran itu dilihat sebagai simbolik bahawa pemain berusia 25 tahun itu merindui untuk kembali bermain secara konsisten, malah sanggup memulakan semula kariernya dari bawah jika dilepaskan kedua-dua kelab tersebut.

Tangkap layar Insta Story Machuca.
Untuk info, pemain sayap kanan berkenaan bermain untuk Velez Sarsfield pada musim 2025 selepas sukar mengumpul minit permainan bersama kelab majikannya iaitu Fortaleza.
Bersama Velez, Machuca menjulang Supercopa Internacional pada Julai lalu dan pada September pula dia meraikan pula kejayaan menjuarai Supercopa Argentina selepas kelabnya menewaskan Central Cordoba 2-0.
Sebelum ini, FAM diarahkan untuk membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.9 juta) kepada FIFA. Manakala, tujuh pemain itu dikenakan denda CHF2,000 (RM10,000) serta digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
