[VIDEO] Selangor senasib Harimau Malaya, pernah dihukum beraksi di ‘gelanggang sepi’


  • Podium
  • Isnin, 17 Nov 2025

Aksi antara skuad kebangsaan dan UAE yang berlangsung tanpa penyokong di Stadium Shah Alam pada 2015.

HUKUMAN berat dikenakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ke atas Selangor FC berikutan kegagalan mengawal penyokong dalam aksi suku akhir kedua Piala FA menentang Negeri Sembilan FC di Stadium MBPJ, Selangor pada 29 Oktober lalu.

Pada perlawanan terbabit, penyokong Merah Kuning, termasuk yang berada di tempat duduk orang kenamaan (VIP) dilaporkan melakukan kekacauan terhadap peminat pasukan pelawat.

Kesalahan berkenaan jelas melanggar undang-undang FAM yang mengenakan hukuman setimpal ke Selangor FC menerusi sebuah pengumuman dikongsikan pada Sabtu.

BACA LAGI: Bukan lagi Selangor, Skuad Jang destinasi terbaik 3 bintang Liga A1 jika mahu ‘naik pangkat’

BACA LAGI: Dulu tangkas di pintu gol, Helmi Eliza antara kiper kembali berbakti bersama kelab lama

Dalam kenyataan itu, kelab tersebut diarahkan membayar denda berjumlah RM100,000 atas kesalahan berulang berdasarkan Artikel 42 Perenggan 1 Kod Tatatertib FAM.

Namun, hukuman tersebut bukanlah topik utama kerana peminat lebih tertumpu terhadap tindakan badan induk bola sepak negara itu yang mengarahkan skuad Gergasi Merah beraksi tanpa penyokong bagi perlawanan kedua separuh akhir menentang Sabah FC pada 30 November.

Hukuman sama turut dikenakan bagi aksi pertama Selangor FC di laman sendiri dalam saingan Piala FA untuk musim depan dengan rayuan masih boleh dikemukakan.

Pengumuman terbabit sudah tentu memberi tamparan hebat ke atas skuad Gergasi Merah yang memerlukan sokongan 'pemain ke-12' dalam setiap perlawanan.

Skuad Gergasi Merah akan beraksi tanpa penyokong untuk dua perlawanan.

Malah, tindakan diambil FAM ke atas Selangor FC juga boleh dikatakan sesuatu yang janggal kerana sudah lama hukuman sebegitu tidak dikenakan dalam arena bola sepak tanah air.

Semakan terhadap lipatan sejarah mendapati kali terakhir sesebuah pasukan diarahkan beraksi tanpa penyokong merupakan skuad kebangsaan yang mengalami nasib itu pada 2015.

Hukuman tersebut dikenakan FIFA ekoran kekecohan dalam aksi terdahulu di gelanggang sendiri ketika Harimau Malaya berdepan Arab Saudi di Stadium Shah Alam, Selangor dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2018.

Dalam perlawanan tersebut, skuad kebangsaan ketinggalan 1-2 memasuki minit terakhir permainan dengan kedudukan berkenaan sukar diterima penyokong, terutamanya mereka yang berada dalam kumpulan ultras.

Perasaan itu juga berpunca daripada kekalahan memalukan 0-10 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang menceritakan situasi pasukan negara pada waktu tersebut.

Jadi, untuk menyuarakan rasa tidak puas hati, kumpulan penyokong itu bertindak membakar dan membaling suar ke dalam padang sehingga memaksa aksi ditangguhkan.

Insiden kekecohan menjadi semakin tegang apabila kedengaran bunyi letupan di dalam stadium sehingga memaksa pengendali Arab Saudi, Bert van Marwijk mengarahkan anak-anak buahnya kembali ke bilik persalinan.

SELANGOR 8 September 2015_Penyokong harimau malaya membuat kekecohan sewaktu peralwanan kelayakan piala dunia Malaysia menetang Arab Saudi di Stadium Shah Alam di sini hari ini.Gambar:Mohd Shaharani SaibiPemberita: Izmel (SUK)

Suar dibaling penyokong ke dalam padang sehingga memaksa aksi ditangguhkan.

Perlawanan itu kemudiannya dibatalkan dengan kemenangan automatik 3-0 diberikan kepada pasukan pelawat, sekali gus menutup peluang Harimau Malaya ke pentas Piala Dunia.

Malang terus menimpa Harimau Malaya apabila FIFA mengenakan denda berjumlah CHF40,000 (RM180,000) selain diarahkan untuk beraksi tanpa penyokong ketika berdepan UAE di Stadium Shah Alam.

Selepas itu, tiada lagi hukuman berbentuk sedemikian dikenakan sehingga yang baru-baru ini dialami Selangor FC meskipun terdapat beberapa kekecohan kecil tercetus di stadium.

Insiden sedemikian juga sepatutnya tidak berulang kerana kekacauan yang berlaku ketika perlawanan boleh mengakibatkan kemalangan lebih teruk sekiranya dibiar berlanjutan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram