KEHADIRAN Luqman Hakim Shamsudin dalam skuad kebangsaan dilihat sebagai satu nilai tambah menjelang aksi menentang Nepal dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa.
Penyerang berusia 23 tahun itu dipanggil menggantikan Jordan Mintah bagi kem latihan pusat kali ini, sekali gus kembali menyertai Harimau Malaya selepas kali terakhir beraksi bersama skuad kebangsaan ketika menentang Singapura pada 2022 dalam aksi persahabatan antarabangsa.
Mengulas peluang terbaharunya itu, Luqman yang juga merupakan pemain sensasi Negeri Sembilan FC (NSFC) menyifatkannya sebagai ruang terbaik untuk membuktikan kemampuan sebenar.
BACA LAGI: [VIDEO] Pearly Tan-Thinaah rangkul Japan Masters, gelaran ke-3 musim ini bawa pulang lebih RM155,000
BACA LAGI: Cepatlah ikut jejak Luqie, 3 striker muda perlu segera ‘curi' hati Cklamovski
“Ini salah satunya peluang yang terbaik untuk saya tunjukkan yang saya pun boleh bersaing dengan rakan-rakan juga,” katanya menerusi satu hantaran yang dikongsikan pemerhati sukan tanah air, Fina Nasrom di platform X.
Luqman turut mengakui perjalanan kariernya sebelum ini tidak menentu, namun pengalaman tersebut banyak mematangkannya sebagai pemain.
"Sebelum ini pun situasi perjalanan saya ada (fasa) naik dan turun. Itu pengalaman hidup saya yang dapat mematangkan lagi diri ini dalam bidang bola sepak," ujarnya.
Menurutnya, usia mudanya memberi keyakinan bahawa masih banyak ruang untuk memperbaiki prestasi dan kembali bangkit.
"Apa yang perlu saya buat hanya untuk meningkatkan lagi prestasi. Saya rasa tak sedikit pun terlambat sebab saya masih lagi 23 tahun.
"Dan perjalanan saya masih lagi panjang, saya rasa belum terlambat," katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
