SELANGOR FC diarahkan bermain tanpa penonton selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil tindakan terhadap insiden melibatkan kelakuan penyokong pada aksi suku akhir kedua Piala FA 2025-26 menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada 29 Oktober lalu.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Baljit Singh Sidhu, hukuman itu berkuat kuasa pada perlawanan separuh akhir kedua menentang Sabah FC pada 30 November ini, selain turut terpakai untuk aksi pertama Selangor di gelanggang sendiri bagi saingan sama pada musim berikutnya.
Dalam masa sama, Baljit memaklumkan bahawa Selangor, yang mara ke separuh akhir menerusi kemenangan agregat 6-3, turut dikenakan denda RM100,000 atas kesalahan berulang seperti termaktub di bawah Artikel 42, Perenggan 1 Kod Tatatertib FAM.
BACA LAGI: Aksi atas padang Selangor FC sepatutnya selari dengan pujian ‘next level’ fans Persib Bandung
BACA LAGI: [VIDEO] Saya di Selangor FC bukannya bergaji — Shahril Mokhtar
Keputusan tersebut merupakan sebahagian daripada tindakan tegas FAM terhadap insiden kekecohan yang berlaku melibatkan penyokong Gergasi Merah.
“Selangor FC juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu,” katanya dalam kenyataan.
Baljit berkata, juara lima kali itu didapati bersalah melanggar Artikel 70, Perenggan 1 dan Perenggan 3 Kod Tatatertib FAM bagi pertuduhan 1, 2, 3 dan 4 serta melanggar Artikel 68 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 69 Kod Tatatertib FAM bagi Pertuduhan 5.
Menurut pertuduhan 1, Baljit menjelaskan bahawa penyokong Selangor melakukan pembakaran mercun dan dianggarkan sebanyak dua kali letupan mercun dilihat dan didengari, yang dibaling ke arah tempat duduk penyokong Negeri Sembilan.
Beliau berkata, bagi pertuduhan 2, penyokong tuan rumah merosakkan dan melontarkan bangku tempat duduk penonton dan membaling botol air ke arah tempat duduk penyokong Negeri Sembilan yang mengakibatkan kecederaan kepada dua orang penyokong lawan.
“Pertuduhan 3, dari tempat duduk orang kenamaan, seorang VVIP dari pihak Selangor FC membaling bekas minuman plastik berisi air ke arah keluarga pemain pasukan Negeri Sembilan FC.
“Pertuduhan 4, penyokong Selangor FC melakukan provokasi yang mengakibatkan kekecohan di antara kedua-dua penyokong di tempat duduk penyokong,” katanya.
Beliau berkata, Selangor turut didapati gagal mematuhi obligasi penganjuran perlawanan seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan kelima, antaranya tidak melaksanakan sepenuhnya undang-undang keselamatan yang ditetapkan termasuk oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa.
Bukan itu sahaja, Gergasi Merah juga gagal memastikan pihak berkuasa tempatan dimaklumkan dan bekerjasama secara aktif serta efektif dalam aspek keselamatan perlawanan.

Sabah selepas ini akan berkunjung ke MBPJ pada 30 November. — Facebook/SabahFC
Hukuman stadium kosong itu bagaimanapun menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong Sabah FC yang bakal bertandang ke Stadium MBPJ pada aksi separuh akhir berkenaan.
Penyokong The Rhinos, Ken Vun mempersoalkan mengapa penyokong Sabah turut tidak dibenarkan masuk sedangkan insiden tersebut berpunca daripada tindakan penyokong tuan rumah.
“Kenyataan FAM menyebut Selangor FC akan bermain tanpa penonton pada 30 November untuk leg kedua separuh akhir. Ini termasuk sekali fan away ka tidak boleh masuk stadium? Yang buat hal mereka! Takkan kami penyokong Sabah FC pun tidak boleh masuk stadium?” katanya.
Penyokong Sabah kini menanti penjelasan lanjut berhubung pelaksanaan penuh hukuman tersebut menjelang aksi penting penentuan slot final Piala FA. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegra
