Jodoh Cklamovski bersama Harimau Malaya masih kuat, katanya takkan terlerai selepas jumpa Nepal


  • Podium
  • Isnin, 17 Nov 2025

Sebahagian sesi latihan skuad Harimau Malaya menjelang aksi bertemu Nepal aksi Kelayakan Piala Asia 2027 pada Selasa. — Facebook/Malaysia NT

KANCAH bola sepak tanah air kembali hangat dengan berita kurang menyenangkan apabila nama ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski menjadi topik perbualan utama dalam kalangan peminat tempatan.

Segalanya tercetus selepas tular di media sosial dakwaan bahawa pengendali kelahiran Australia itu bakal meletakkan jawatan selepas tamat aksi menentang Nepal pada Selasa (18 November) dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Spekulasi tersebut semakin mendapat perhatian termasuk daripada media luar negara, susulan tindakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menolak rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain warisan skuad kebangsaan.

BACA LAGI: Cepatlah ikut jejak Luqie, 3 striker muda perlu segera ‘curi' hati Cklamovski

BACA LAGI: Tak sia-sia ledak 2 gol buat skuad Jang, Luqman Hakim ganti Jordan Mintah barisi 'line up' skuad kebangsaan

Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Cklamovski. Facebook/Malaysia NT

Tujuh pemain warisan yang dikenakan tindakan oleh FIFA ialah Hector Hevel, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Gabriel Palmero, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca dan Facundo Garces.

Situasi itu dikatakan berpotensi mempengaruhi keputusan Cklamovski yang mungkin mencari pasukan baharu bagi mengelak terus terjerat dalam kontroversi berkenaan.

Namun begitu, peluang untuk Cklamovski berpisah dengan skuad kebangsaan dilihat tidak mungkin terlerai kerana terdapat beberapa faktor kukuh yang menjadikan jurulatih berusia 47 tahun itu dijangka terus kekal mengemudi Harimau Malaya.

Tambahan pula, Malaysia masih memerlukan sentuhan taktikalnya memandangkan skuad kebangsaan belum mencatat sebarang kekalahan dalam perlawanan rasmi FIFA setakat ini.

1. Projek jangka masa panjang

Kehadiran Cklamovski dianggap antara tonggak utama dalam agenda penstrukturan semula skuad bola sepak kebangsaan.

Dilantik secara rasmi pada 1 Januari lalu, Cklamovski kini berada di landasan tepat untuk memastikan Harimau Malaya mengungguli saingan Kumpulan F dalam kempen kelayakan, sekali gus merealisasikan sasaran layak ke Piala Asia 2027.

Selain mengejar tiket ke kejohanan berprestij itu, Cklamovski turut diberi mandat meningkatkan ranking FIFA Malaysia dengan sasaran menembusi kelompok 100 terbaik dunia.

Cklamovski diberi mandat meningkatkan ranking FIFA Malaysia dengan sasaran menembusi kelompok 100 terbaik dunia. Facebook/Malaysia NT

Untuk rekod, Malaysia kini menduduki tangga ke-118 ranking dunia selepas meraih dua kemenangan ke atas Laos masing-masing pada 9 Oktober dan 14 Oktober bagi saingan Kelayakan Piala Asia 2027.

Tugas besar yang digalasnya jelas memerlukan perancangan rapi serta tempoh masa lebih panjang untuk mencapai hasil yang diinginkan.

Justeru, adalah sukar membayangkan bekas pengendali Tokyo FC itu memilih untuk meninggalkan projek jangka panjang bersama skuad kebangsaan demi mencari pasukan baharu pada waktu ini.

2. Rekod masih baik

Sejak diberi mandat mengemudi Harimau Malaya pada 1 Januari lalu, Cklamovski mempamerkan prestasi amat meyakinkan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan.

Pelantikannya jelas membawa impak positif apabila peluang Malaysia untuk melayakkan diri ke Piala Asia 2027 kini semakin cerah.

Di bawah bimbingan Cklamovski, Harimau Malaya menggungguli carta Kumpulan F dengan merekodkan empat kemenangan sekali gus mengumpul keseluruhan 12 mata setakat ini.

Sebahagian aksi yang dipamerkan oleh pemain tengah Harimau Malaya, Hector Hevel ketika beraksi bertemu Vietnam Jun lalu. Facebook/Malaysia NT

Lebih manis, Malaysia turut mencipta sejarah baharu apabila akhirnya memadam rekod tanpa kemenangan ke atas Vietnam yang berlarutan hampir sedekad.

Rentetan prestasi cemerlang itu, Cklamovski dilihat berpotensi besar untuk terus mengekalkan tempatnya sebagai pengendali utama skuad Harimau Malaya.

3. Hubungan baik bersama peminat

Sekiranya benar Cklamovski mengambil keputusan untuk berundur, ia pasti menjadi tamparan hebat buat penyokong bola sepak negara.

Ini kerana kehadiran jurulatih berusia 47 tahun itu telah membawa perubahan besar dalam prestasi Harimau Malaya sejak dia mengambil alih pasukan.

Antara detik paling manis yang masih segar dalam ingatan penyokong ialah kemenangan bergaya 4-0 ke atas Vietnam pada 10 Jun lalu dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027.

Skuad kebangsaan mencatatkan sejarah sendiri apabila memadam rekod tanpa kemenangan ke atas Vietnam yang berlarutan hampir sedekad. Facebook/Malaysia NT

Kejayaan itu bukan sahaja menamatkan kemarau hampir sedekad tanpa kemenangan ke atas lawan tradisi tersebut, tetapi turut memberi kepuasan luar biasa kepada penyokong tanah air memandangkan Malaysia berjaya meraih kemenangan dengan jumlah jaringan yang begitu besar.

Lebih daripada sekadar keputusan 4-0, ia menjadi isyarat jelas bahawa bola sepak Malaysia sedang memasuki era baharu berasaskan sistem, struktur dan falsafah permainan moden, bukannya hanya bergantung kepada semangat atau keajaiban minit akhir.

Dengan impak positif sebegitu, tidak hairanlah kehadiran Cklamovski diyakini mampu mengangkat nama Malaysia lebih jauh, bukan sahaja di peringkat serantau, malah di pentas antarabangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram