ISU peniaga warga asing yang berniaga secara haram bukanlah perkara baharu dan sering menjadi perbincangan hangat di negara ini.
Malah, sebahagian daripada mereka didakwa menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah, menimbulkan kebimbangan tentang keselamatan, persaingan tidak adil terhadap peniaga tempatan serta menjejaskan pendapatan kerajaan melalui cukai dan lesen perniagaan.
Terbaharu, kecoh di media sosial apabila sebuah video tular menunjukkan suasana tegang melibatkan ahli Persatuan Kebajikan SurPlus Pulau Pinang (SurPlus) dan seorang lelaki yang didakwa menjadi ‘penjaga’ kepada peniaga warga asing di Pusat Bandar Utara Selayang, Selayang, Kuala Lumpur.
BACA LAGI: [VIDEO] Penduduk pertikai warga asing letak ‘syarat’ main bola sepak di padang awam
BACA LAGI: Taktik warga asing di pasar raya, tengah 'video call' kawan, sambil ekori, rekod pelanggan wanita
Kejadian pada Ahad itu turut menimbulkan persoalan tentang kawalan aktiviti perniagaan warga asing serta peranan pihak berkuasa tempatan dalam menegakkan undang-undang.
Video yang dimuat naik melalui Facebook rasmi SurPlus mendakwa lelaki terbabit bukan sahaja mengeluarkan kata-kata kesat, malah cuba bertindak agresif ketika ahli persatuan itu sedang memberi ceramah mengenai undang-undang negara dan peraturan yang melarang warga asing berniaga di kawasan tersebut.
Menurut SurPlus, sesi penerangan itu bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang peraturan perniagaan serta tanggungjawab pihak berkuasa tempatan dalam mengawal aktiviti ekonomi warga asing.
Rata-rata netizen meluahkan rasa kecewa terhadap kejadian itu. Harun Ghani mendakwa wujud individu tempatan yang bertindak sebagai ‘penjaga’ sehingga membolehkan warga asing berniaga sesuka hati.
Seorang pengguna Facebook, Joe Hashim pula menuduh lelaki berkenaan bertindak sebagai 'penjaga' kepada peniaga asing dan dipercayai mendapat habuan daripada kegiatan tersebut.
"Abang besar warga asing. Dia jadi bos jaga warga asing niaga… tentu dapat banyak ‘salam kaut' dari mereka," tulisnya.
Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari mengesahkan kejadian terbabit.
Katanya, kejadian itu berlaku pada 10 pagi Ahad ketika beberapa aktivis SurPlus menjalankan tinjaun di kawasan terbabit.
"Tujuan mangsa adalah untuk menyuarakan isu-isu demi kepentingan rakyat serta mendekati masyarakat tempatan dalam bentuk penyampaian maklumat melalui siaran langsung di platform TikTok.
"Kemudian seorang lelaki menaiki motosikal datang mengganggu dengan membuat bunyi bising menggunakan ekzos secara sengaja, serta mengeluarkan kata-kata kesat, ejekan dan fitnah terhadap aktiviti pengadu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, suspek mula bertindak agresif dan menghampiri mangsa serta menolak rakan mangsa, malah cuba menumbuknya di khalayak ramai.
Katanya, tindakan suspek berkenaan mencetuskan suasana cemas dan ketakutan kepada aktivis serta orang awam.
"Serangan itu berlaku tanpa sebarang provokasi daripada pihak pengadu atau orang awam yang berada di lokasi.
"Satu aduan berkait kejadian itu kita terima pada pukul 6.44 petang semalam (Ahad). Berikutan itu, polis menahan lelaki tempatan berusia 38 tahun pada pukul 11.50 pagi hari ini (Isnin) bagi membantu siasatan," katanya.
Ahmad Sukarno berkata, semakan juga mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkait kes jenayah serta tiga rekod berkait kes dadah.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 323, Seksyen 506 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
