JURULATIH skuad kebangsaan, Peter Cklamovski tidak mahu terlalu yakin mengenai peluang Harimau Malaya untuk menewaskan Nepal dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 pada 18 November.
Memetik laporan Buletin TV3, Cklamovski mengakui yang Harimau Malaya tidak mendapat pengetahuan penuh mengenai skuad Nepal yang kini berwajah baharu.
Hal ini kerana, Nepal kini dilatih oleh legenda bola sepak mereka iaitu Hari Khadka yang menggantikan pengendali sebelum ini iaitu Matt Ross yang baru meletakkan jawatan pada 30 Oktober lalu.
BACA LAGI: NSFC dengar luahan fans, ‘upgrade’ fasiliti stadium lepas kantung kelab penuh
BACA LAGI: Aksi lawan NSFC bukan penentu, TFC belum ada kata putus masa depan Badrul Afzan

Hari Khadka bermain untuk Nepal sebanyak 41 kali dan menjaringkan 13 gol.
Ujar Cklamovski, Nepal yang diketuai pengendali baharu memberikan cabaran yang sukar diduga oleh Malaysia, namun jurulatih dari Australia tersebut bersedia dengan segala kemungkinan.
"Nepal kini ada jurulatih baharu yang diumumkan beberapa minggu lepas. Jadi kami mungkin tidak tahu sepenuhnya corak atau formasi mereka. Tapi kami mesti bersedia untuk segala kemungkinan.
"Kami sedang kumpul maklumat, tapi apa pun strategi atau gaya mereka kami akan bersedia," jelas Cklamovski.
Kata Cklamovski lagi, matlamat mengadakan kem latihan pusat dengan lebih awal memberikan peluang untuk Harimau Malaya melakukan persiapan lebih rapi.
Dengan Nepal kini mempunyai jurulatih baharu, latihan pusat yang lebih lama membantu Cklamovski dan barisan kejurulatihannya merencana pelbagai strategi.
"Itulah tujuan kem dan latihan supaya pasukan bersedia menghadapi apa sahaja dan bermain perlawanan terbaik tahun ini, menutup 2025 dengan keputusan yang baik dan menggembirakan penyokong.
"Fokus kami ialah memastikan pasukan berada di tahap terbaik, menggunakan lapan hingga sembilan hari persiapan ini untuk capai sasaran kemenangan," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
