KETIKA skuad Harimau Malaya berdepan ketidaktentuan menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada Selasa ini, pemain bek sayap kebangsaan, Dion Cools tampil sebagai simbol ketenangan dalam kem bergelora itu.
Persiapan Malaysia terganggu selepas FIFA menggantung tujuh pemain warisan bulan lalu berikutan proses pengesahan dokumen bagi pemain berstatus dwi-kerakyatan yang masih belum lengkap.
Situasi berkenaan memaksa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bekerja keras untuk menyelesaikan isu berkenaan sebelum aksi penting di Stadium Nasional Bukit Jalil.
BACA LAGI: Malang terus menimpa pemain warisan, Rodrigo Holgado pula kini tiada kelab
BACA LAGI: Skandal pemain warisan : Palmero pemain pertama dibatal kontrak
Namun di sebalik kekacauan itu, pemain kelahiran Malaysia berketurunan Belgium-Malaysia itu kekal fokus dan terus menunjukkan kepimpinan matang yang semakin menyerlah sejak menyertai skuad kebangsaan pada 2021.
Pemain berusia 29 tahun yang kini mengumpul 35 penampilan antarabangsa dan enam jaringan itu, bukan sahaja menjadi tonggak di posisi pertahanan dan serangan tetapi turut berperanan penting sebagai pemimpin dalam bilik persalinan.
"Asasnya masih kukuh.
"Kebanyakan pemain dari kem sebelum ini masih berada dalam skuad dan fokus utama kami sekarang adalah Nepal.
"Matlamat utama kami ialah layak ke Piala Asia. Kami telah melakukan banyak kerja yang baik setakat ini dan kami mahu terus membina momentum itu," kata Cools.

Barisan pemain Harimau Malaya ketika sesi latihan baru-baru ini. — Facebook/MalaysiaNT
Penggantungan itu nyata menjejaskan perancangan skuad negara, namun ketenangan yang dibawa Cools dalam memimpin pasukan membantu mengekalkan suasana stabil di dalam kem.
Pesanannya kepada rakan sepasukan juga konsisten dan fokus pada perkara yang mampu mereka kawal.
"Sudah tentu, kami hanya boleh mengawal apa yang berada dalam kemampuan kami.
"Para pemain dan staf hanya menjalankan tugas, kekal berdisiplin, berlatih bersungguh-sungguh dan fokus untuk menang," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
