Risau hantar ke CAS, FAM akan digantung — Bekas Setiausaha Agung AFF


  • Podium
  • Rabu, 05 Nov 2025

FAM akan berisiko digantung jika kes berkenaan dibawah ke CAS.

BEKAS Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), Datuk Seri Azzuddin Ahmad bimbang tindakan membawa isu penggantungan tujuh pemain Harimau Muda ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) boleh membawa implikasi lebih berat terhadap badan induk itu, termasuk risiko digantung oleh FIFA.

Menurut beliau, keputusan FIFA dalam kes berkenaan seharusnya diterima kerana segala bukti sudah jelas dipersembahkan dan keputusan juga telah pun dibuat dengan telus.

BACA LAGI: 'Sebagai gentleman, kita akui sajalah', bekas SU Agung FAM kata lebih baik guna duit CAS bayar gaji pemain

BACA LAGI: 'Apa yang kita cuba buktikan?', legenda Malaysia gesa FAM jangan bawa kes 7 warisan ke CAS

“Bila masuk kes ke CAS, implikasinya mungkin kita akan dikenakan hukuman yang lebih tinggi lagi. Setakat ini, tindakan yang diambil adalah denda dan penggantungan 12 bulan ke atas tujuh pemain itu.

“Saya takut organisasi kita digantung juga. Bila itu berlaku, semua aktiviti bola sepak termasuk Liga Malaysia akan terhenti serta-merta.

“Itu yang saya paling tak mahu lihat. Sekarang ini kita masih boleh teruskan liga dan aktiviti domestik, tapi kalau FAM digantung, semuanya (pertandingan bola sepak) akan lumpuh.

"Jalan terbaik, dengan rendah diri kita mengaku sajalah ada kesilapan. Tak perlu guna perkataan penipuan, cukup sekadar kita terima hakikat bahawa kita terlepas pandang," katanya ketika ditemui pada majlis Walk With King Of Sport di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada Rabu.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis itu.

Azzuddin yang juga bekas Setiausaha Agung FAM itu berkata, tindakan mencabar keputusan FIFA seolah-olah menunjukkan FAM cuba melawan arus, sedangkan badan dunia itu terkenal dengan ketegasan dan peraturan yang jelas tanpa sebarang pengaruh politik.

"Kalau diteruskan, saya bimbang ia akan menimbulkan lebih banyak persoalan dan boleh mengaitkan jabatan kerajaan seperti pendaftaran serta imigresen.

“Kita seperti melawan arus. Segala bukti sudah terbentang di hadapan kita daripada FIFA, jadi apa lagi yang kita nak persoalkan? FIFA tidak ada kaitan dengan pengaruh politik mana-mana pihak. Statut dan peraturan mereka sangat jelas,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa FAM perlu berhati-hati agar tidak menjejaskan imej dan kedudukannya di mata dunia, kerana sebarang tindakan mencabar keputusan FIFA boleh membawa padah lebih besar kepada bola sepak negara.

Sebelum ini, rayuan FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya berhubung kes pemalsuan dokumen ditolak oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA.

Dalam satu kenyataan rasmi pada Isnin, FIFA memaklumkan pihaknya mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA yang mendapati FAM dan tujuh pemain berkenaan melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).

Susulan keputusan itu, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.9 juta) kepada FIFA.

Manakala, tujuh pemain terbabit iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel masing-masing dikenakan denda CHF2,000 (RM10,000) serta digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram