Hilang tempat, 3 bintang 'bersinar' Liga Super termasuk Morales tiada dalam pelan Cklamovski


  • Podium
  • Sabtu, 08 Nov 2025

Pasukan terbaik akan diturunkan bagi perlawanan antara Harimau Malaya dan Nepal pada 18 November depan. — Facebook/Malaysia NT

PASUKAN terbaik dijangka diturunkan pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski bagi perlawanan kelima Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur (KL) pada 18 November nanti.

Jangkaan tersebut dibuat berdasarkan senarai 27 pemain yang dipanggil ke kem latihan dengan tonggak utama seperti Arif Aiman Hanapi dan Dion Cools bakal beraksi.

Ini membuktikan cita-cita besar skuad kebangsaan untuk merekodkan kemenangan kelima berturut-turut, sekali gus mengukuhkan tempat ke Piala Asia dua tahun lagi.

BACA LAGI: Sekali lagi tak dapat panggilan Harimau Malaya, status pemain warisan Nacho Mendez mula dicurigai

BACA LAGI: 'Adakah CAS jawapannya? Cabaran FAM bermula selepas itu termasuk menangi semula hati peminat Harimau Malaya'

Senarai panggilan skuad kebangsaan menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal. Facebook/Malaysia NT

Bagaimanapun, masih terdapat sebilangan bintang Liga Super yang tidak dipanggil jurulatih dari Australia tersebut atas sebab tertentu seperti taktikal dan kecergasan.

Persaingan hebat untuk tempat dalam pasukan utama turut menyaksikan sebahagian daripada mereka langsung tidak berada dalam senarai bersedia bagi kem kali ini.

Keputusan tersebut pasti menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat, namun terpaksa akur dan meletakkan kepercayaan penuh buat Cklamovski meneruskan rentak bergaya.

Melihat kepada prestasi pemain tempatan musim ini, terdapat tiga bintang bersinar diketepikan bagi aksi penting berdepan Nepal di gelanggang keramat.

1. Danial Asri (Kuching City FC)

Pujian besar harus diberikan kepada Danial Asri yang berjaya keluar dari zon selesa dengan meninggalkan Selangor FC dan menyertai Kuching City FC pada jendela perpindahan lalu.

Keputusan berkenaan jelas membuahkan hasil memandangkan penyerang itu sudah membuktikan nilai sebenar dirinya enam gol dan satu bantuan jaringan dalam 10 penampilan.

Catatan tersebut sebenarnya sudah cukup untuk memberikannya tempat dalam skuad kebangsaan meskipun terpaksa bersaing dengan nama-nama besar seperti Arif Aiman dan Faisal Halim.

Danial Asri menampilkan perubahan positif dari segi prestasi di atas padang. Facebook/Kuching City FC

Bagaimanapun, berdasarkan penilaian Cklamovski, Danial Asri belum cukup bersedia untuk mencatatkan penampilan pertama buat pasukan senior negara.

Ketiadaan penyerang itu boleh dikatakan sesuatu yang meragukan kerana Harimau Malaya jelas tidak mempunyai pilihan dalam posisi serangan.

Tempat tersebut dijangka diisi rakan sepasukan Danial Asri di peringkat kelab, Jordan Mintah yang juga masih menunggu penampilan pertama buat pasukan negara selepas melengkapkan proses naturalisasi.

2. Romel Morales (JDT)

Selain Danial Asri, seorang lagi penyerang yang diketepikan Cklamovski bagi panggilan kali ini merupakan peledak Johor Darul Ta'zim (JDT), Romel Morales.

Tidak boleh dinafikan bahawa pemain naturalisasi itu kurang merekodkan minit permainan musim ini apabila perlu bersaing dengan Jairo da Silva serta Bergson da Silva.

Romel masih beraksi cemerlang meskipun tidak kerap diturunkan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Namun, setiap kali diberikan peluang, bintang kelahiran Colombia tersebut dapat mencurahkan impak positif dengan mencetak enam gol dan mencipta dua jaringan daripada hanya lapan penampilan.

Malah, ketika kali terakhir dipanggil ke kem Harimau Malaya, Romel turut meledak dua gol ketika Harimau Malaya menewaskan Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pulangan itu bagaimanapun belum cukup untuk penyerang berusia 28 tahun tersebut memikat perhatian Cklamovski yang mungkin meletakkan Mintah sebagai tumpuan utama jentera serangan.

3. Azri Ghani (Negeri Sembilan FC)

Berdasarkan senarai panggilan dikeluarkan, Cklamovski memanggil tiga penjaga gol iaitu Sikh Izhan Nazrel, Syihan Hazmi dan Haziq Nadzli.

Dalam senarai bersedia pula, skuad kebangsaan masih boleh menagih khidmat Kalamullah Al-Hafiz serta Suhaimi Husin sekiranya terdapat isu berbangkit seperti kecederaan.

Tetapi, panggilan itu belum cukup memuaskan hati peminat yang masih berpandangan tonggak Negeri Sembilan FC, Azri Ghani tidak wajar diketepikan.

Azri Ghani layak beraksi buat skuad kebangsaan melihat kepada persembahan musim ini. Facebook/Negeri Sembilan FC

Meskipun skuad Jang hanya merekodkan tiga 'clean sheets' musim ini, ketangkasan penjaga gol berusia 26 tahun itu sememangnya layak untuk diberi pujian.

Selain itu, Azri mempunyai ciri-ciri penting sebagai benteng pertahanan terakhir, terutamanya lantang dalam memberi arahan buat rakan sepasukan.

Prestasi cemerlang di peringkat kelab itu bagaimanapun belum cukup untuk merebut kepercayaan Cklamovski dengan penjaga gol Negeri Sembilan FC tersebut perlu terus menunggu bagi penampilan ketiga buat Harimau Malaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram