KEHIDUPAN seorang pemain bola sepak lepas bersara lazimnya akan menceburi bidang kejurulatihan, selain sebahagiannya juga dilantik menjadi penganalisis di mana-mana stesen televisyen.
Selain itu, ada juga yang tidak melepaskan peluang untuk menjadi ahli pernigaan bagi membantu meneruskan kelangsungan hidup selepas bersara dari dunia sukan.
Tidak mengikuti jejak langkah rakan lain menjadi penganalisi mahupun menjalankan perniagaan, legenda Selangor FC iaitu Amri Yahyah pula menceburi dunia hartanah.
BACA LAGI: 'Beli je tiket', saya sampai', besarnya dedikasi Amri Yahyah terhadap bola sepak Sabah
Penyerang yang kali terakhir beraksi bersama Putrajaya Athletic FC dalam saingan Liga A1 Semi Pro itu dilihat aktif menjadi ejen hartanah dengan menjual rumah.
Dalam beberapa video yang tular di TikTok, bekas penyerang berusia 44 tahun itu dilihat tidak kekok mempromosikan sebuah kediaman sambil menjelaskan kelebihan rumah yang diwakilinya.
Langkah Amri itu mendapat pelbagai reaksi positif daripada peminat bola sepak tanah air yang menyifatkan keputusan legenda itu sebagai satu tindakan bijak dalam merancang masa depan.
"Terbaik Wak Am (nama samaran Amri), bijak cari duit. Jangan jadi ahli politik saja," ujar penyokong, Huzairul Haiqal yang memuji pendekatan Amri dalam mencari pendapatan selepas bersara.
"Amri Yahyah antara pemain Malaysia dulu yang persembahannya selalu konsisten," pendapat pengikut bola sepak Malaysia, Mdrahimi542.
"Sedih industri sukan begini, Amri kategori legenda kot. Dia ada pengetahuan dalam bola sepak dan pengalaman yang sangat diperlukan dalam industri," komen penyokong, Hazemshaary yang berharap Amri menceburi dunia kejurulatihan.
Bagaimanapun hasil penelitian mendapati Amri sebenarnya bukan beralih kerjaya secara penuh ke bidang hartanah, sebaliknya hanya menjalankan tugas sebagai duta syarikat hartanah Vigor selepas diumumkan menyertai kelab Vigor FC pada Januari lalu.
Walaupun tidak menceburi dunia hartanah secara langsung, video tular itu mendapat sambutan hangat, sekali gus membuktikan pengaruhnya dalam kalangan peminat masih utuh biarpun sudah meninggalkan pentas bola sepak profesional.
Jika Amri menceburi industri itu, dia mengikut jejak langkah Harris Harun yang sebelum ini merupakan ketua pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) juga mempunyai kerjaya lain sebagai ejen hartanah di negara kelahiran di Singapura.
Pada 2023, tonggak berusia 33 tahun berkenaan memutuskan untuk menceburi bidang hartanah sebagai sebahagian persiapan kerjaya di luar padang dengan dia juga kini berada pada usia emas dalam kerjaya seorang pemain bola sepak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
