SATU perkongsian di Threads mengenai pengorbanan anak dalam menjaga ibu yang uzur telah menyentuh hati ramai.
Ia apatah lagi kisah itu diakhiri dengan ujian serta rezeki yang tidak disangka-sangka oleh dirinya sendiri.
Menerusi perkongsian Nur Sha Bolat, menceritakan bagaimana dia dan ibunya berkongsi impian untuk memiliki kereta baharu namun akhirnya menjadi penguat semangatnya ketika menjaga ibunya yang sakit.
BACA LAGI: Wanita dicerai talak tiga, kahwini bapa kepada 'penyondol' bekas suaminya
Nur Sha mengimbau kembali zaman awal kehidupannya apabila dia hanya mampu memiliki sebuah kereta terpakai yang rosak.
"Dahulu saya guna kereta terpakai. Tidak ada penghawa dingin. Ibu berpeluh-peluh dalam kereta. Santai sahaja dia mengusik saya," tulisnya.
Dalam keterbatasan itu, Nur Sha meluahkan hasrat kepada ibunya.
"Saya cakap dekat ibu, 'Ibu, doakan orang dapat beli kereta baharu, nanti kita ukur jalan selatan sampai timur!' Ibu kata mestilah ibu doakan. Dia terus angkat tangan berdoa," kongsinya.
Doa si ibu dimakbulkan dan Nur Sha berjaya membeli kereta baharu.
Namun, takdir Tuhan menguji, sebaik sahaja kereta baharu itu dimiliki, keadaan kesihatan ibunya mula merosot.
"Bila sudah dapat kereta baharu, ibu tidak boleh berjalan, naik kerusi roda dan pakai lampin pakai buang. Saya sorong dia selatan ke utara bawa berjalan. Kadang-kadang lampin pakai buang ibu bocor," cerita Nur Sha.
Ibunya sering berasa serba salah dan takut kerana merasakan dirinya menyusahkan.
Nur Sha kemudian menggunakan kata-kata yang sama seperti pernah diucapkannya dahulu tetapi dengan konteks penuh berbeza untuk menghilangkan rasa malu ibunya.
"Saya cakap, ‘Ibu, apa susah sangat Ibu? Orang kan kaya, nanti orang beli sahaja kereta baharu'," katanya.
Ibu Nur Sha sering rasa serba salah jika dibawa berjalan kerana lampinnya pasti bocor.
Namun, Nur Sha sebaliknya berasa bangga dapat membawa ibunya merayau dan menganggap kebocoran itu bukan masalah besar.
"Bocor itu apa ada hal. Cuci sahajalah. Asal ibu serba salah sahaja, saya akan ulang ayat, ‘Adikkan orang kaya ibu, nanti kotor adik beli sahaja kereta baharu.’,” ujarnya.
Dalam tempoh menjaga ibu, meskipun dia sudah memiliki kereta baharu, hati Nur Sha mendambakan sebuah kereta idaman yang diimpikannya sejak sekolah.
Namun, Allah S.W.T mempunyai perancangan yang berbeza.
"Tahu apa yang terjadi kepada saya selepas itu? Allah tidak bagi saya kereta baharu semasa ibu hidup. Tetapi Allah hadirkan rezeki melimpah ruah kepada saya selepas Dia ambil ibu pulang," katanya penuh sebak.
Nur Sha akhirnya mendapat kereta idamannya, walaupun ia hanya sebuah kereta biasa, tetapi ia adalah impiannya sejak di bangku sekolah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
