NAMA Amri Yahyah sangat dikenali oleh penyokong bola sepak tempatan tak kira kelab mana pun.
Bagi penyokong Sabah FC, nama Amri cukup popular hasil daripada masanya bersama kelab itu hingga dia menjadi salah seorang pemain kesayangan penyokong.
Malah, sehingga ke hari ini namanya masih mekar dalam kalangan penyokong dan warga Sabah kerana dedikasi terhadap bola sepak di negeri itu.
BACA LAGI: Hilang 3 tonggak akibat ‘gentlemen agreement’, Kuching City sasar elak bolos awal jumpa JDT
BACA LAGI: Kalau musim ini masih 'trophyless', mana penyokong Selangor nak letak muka?
Menurut perkongsian Farish Aziz di media sosial, dedikasi Amri terhadap bola sepak Sabah cukup besar hinggakan dia bersedia bila-bila masa untuk ke sana walaupun kini menetap semula di Semenanjung Malaysia.
“Bila kau cintakan bola sepak dan Sabah, ia cuma memerlukan satu panggilan telefon.
“Saya tanya ‘Wak Am, sibuk tak Sabtu ni?,’ dia menjawab ‘tak sibuk, belikan saja tiket saya akan datang,’ tanpa bertanya apakah program yang kami nak buat,” katanya.
Menurut Farish, dengan satu panggilan telefon bersama Amri berjaya menghasilkan satu program bola sepak bersama komuniti.
Dedikasi Amri terhadap bola sepak melihatkan bekas pemain kebangsaan itu menghadiri klinik bola sepak bersama pemain cilik serta sesi bola sepak santai.
Sekitar 80 peserta menyertai program tersebut dengan ada yang datang dari Kuala Lumpur, Brunei dan lain-lain.
“Dengan begitu saja, satu hari penuh magis bola sepak berlaku. Bermula dengan Klinik Kaki Bangku Bola Sepak bersama Amri Yahyah pada pagi kepada sesi bola sepak santai semasa petang. Semuanya dilakukan dengan semangat dan gelak tawa.
“Pada akhirnya, rasa cinta kepada sukan dan komuniti sentiasa mencipta sesuatu yang indah,” jelas Farish. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
