KETIKA Perak FC berdepan kemelut kewangan dalam saingan Liga Super musim 2024/2025, masa depan bola sepak negeri itu kelihatan semakin suram apabila ramai pemain terpaksa mencari pasukan baharu untuk meneruskan karier.
Namun, kemunculan Perak FA di bawah naungan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mengubah persepsi tersebut, sekali gus meniupkan sinar baharu buat arena bola sepak negeri berkenaan.
Terkini, skuad Seladang mempamerkan prestasi memberangsangkan dalam Liga A1 Semi Pro apabila mencatat enam kemenangan, dua keputusan seri dan satu kekalahan selepas sembilan perlawanan.
BACA LAGI: Jumpa Sang Kenari, Perak tak boleh sia-siakan peluang kaut 3 mata dari 'lubuk' Liga A1
Meskipun pada awalnya Perak FA tidak diberikan harapan besar kerana tampil dengan barisan pemain muda, pasukan itu kini membuktikan kemampuan sebenar mereka apabila berada di tangga kedua liga dengan keputusan yang cukup positif.
Antara pemain muda Perak FA yang menyerlah pada saingan Liga A1 Semi Pro kali ini ialah Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil, dengan dia kini dilabel sebagai permata baharu bola sepak skuad Seladang.
Sesiapa yang mengikuti perkembangan bola sepak Perak pasti mengenali Daniel Hakimi, pemain muda berusia 20 tahun yang mula mencuri tumpuan selepas diberikan kepercayaan beraksi dalam Liga Super musim 2024/2025.
Ketika itu, Daniel Hakimi yang merupakan pemain skuad Piala Presiden Perak mendapat peluang keemasan daripada ketua jurulatih, Yusri Che Lah, untuk beraksi dalam 10 perlawanan, termasuk enam aksi Liga Super.
Tidak mensia-siakan kepercayaan yang diberikan, anak jati Perak itu tampil cemerlang dengan dua jaringan dalam saingan Piala Malaysia, termasuk gol debut yang diingati ramai pada aksi pertama pusingan 16 menentang Kelantan Darul Naim (kini dikenali sebagai Kelantan The Real Warriors).
Hasil persembahan konsisten berkenaan, Daniel Hakimi kini diserap menyertai Perak FA dan sering menjadi pemain kesebelasan utama skuad Seladang dalam saingan Liga A1 Semi Pro.
Dikenali sebagai pemain lincah dan berteknikal tinggi, Daniel Hakimi juga dilihat bijak memanfaatkan ruang serta memiliki kemahiran mencipta peluang untuk rakan sepasukan.
Daniel Hakimi, yang diberi tanggungjawab sebagai pengambil sepakan percuma utama pasukan sudah menjaringkan satu gol musim ini dan kekal menjadi ancaman utama kepada lawan setiap kali bola berada di kakinya.

Daniel Hakimi atau mesra dengan panggilan Maro merupakan hero membantu Perak FC menang 3-0 ke atas Kelantan Darul Naim FC dalam aksi pusingan 16 pada musim lepas. — Facebook/PerakFC
Masih muda dan berbakat besar, Daniel Hakimi bukan sahaja berpotensi besar untuk menjadi bintang masa depan Perak, malah berupaya mengangkat kembali martabat bola sepak negeri itu sekiranya terus diberikan peluang dan bimbingan sewajarnya.
Namun, sekiranya Perak FA gagal kembali ke pentas Liga Super musim hadapan, tidak mustahil nama Daniel akan menjadi rebutan kelab-kelab lain yang berminat mendapatkan khidmatnya.
Dengan prestasi konsisten, kemampuan menjaringkan gol serta keupayaan mencipta peluang untuk rakan sepasukan, pemain muda itu jelas memiliki pakej lengkap untuk melangkah lebih jauh dalam kariernya sama ada bersama Perak atau pasukan lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
