Bezanya di bawah Teong Kim, skuad B-16 pernah elak dimalukan Croatia dan gilap bakat muda sampai ke pentas Liga Super


  • Podium
  • Selasa, 11 Nov 2025

Skuad bawah 16 tahun negara (B-16) tewas 11-0 kepada Croatia dalam aksi persahabatan di Zagreb, sekali gus mencatat kekalahan terbesar dalam sejarah pasukan muda negara. — FAM

KEKALAHAN memalukan skuad bawah 16 tahun (B-16) negara kepada Croatia 0-11 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Zagreb pada Selasa mencetuskan semula perdebatan tentang hala tuju pembangunan bola sepak remaja tanah air.

Skuad kendalian Javier Jorda Ribera itu menanggung kekalahan terbesar dalam sejarah pasukan muda negara, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan program pembangunan pemain bawah usia 17 tahun yang sedang dilaksanakan kini.

Perlawanan tersebut merupakan sebahagian daripada kem latihan dua minggu di Croatia, dari 27 Oktober hingga 10 November 2025, sebagai persiapan menghadapi Kelayakan Piala Asia B-17 AFC 2026 hujung bulan ini.

BACA LAGI : [VIDEO] Bintang Persib hina tugas anggota polis sudah kembali ke negara asal — PDRM

BACA LAGI : Gagal kawal nafsu dan baran, FAM ada sejarah gantung 2 pemain Liga M seumur hidup

Walaupun dibarisi pemain terbaik dari pusat-pusat pembangunan utama negara, skuad Harimau Muda nyata tidak mampu menyaingi ketangkasan serta keampuhan taktikal pasukan Eropah Timur itu yang jauh lebih tersusun dan bertenaga.

Datuk Lim Teong Kim

Namun, kekalahan besar itu turut mengundang nostalgia dalam kalangan peminat bola sepak tempatan apabila mereka mengimbas prestasi skuad B-16 ketika era Datuk Lim Teong Kim (LTK) pada 2017.

Ketika itu, Malaysia hanya tewas tipis 0-1 kepada pasukan sama dalam saingan Torneo Delle Nazioni di Itali dengan ia merupakan keputusan yang jauh lebih kompetitif berbanding kekalahan teruk kali ini.

Menariknya, beberapa pemain daripada skuad kendalian Teong Kim seperti Sikh Izhan Nazrel, Harith Haiqal dan Harith Naim kini sudah bergelar pemain Liga Super. 

Kehebatan LTK mengasah bakat pemain muda pada ketika itu membuktikan keberkesanan program pembangunan yang diterapkan ketika itu.

Bagaimanapun, pada 2018, jurulatih itu digugurkan dari jawatannya bersama skuad muda negara susulan kegagalan membawa pasukan itu ke Piala Dunia B-17 2019 yang merupakan sasaran utama diletakkan terhadapnya.

Kini, selepas lapan tahun, keputusan 0-11 ke atas skuad remaja negara bukan sahaja menjadi tamparan hebat kepada barisan kejurulatihan, tetapi turut mencerminkan kejatuhan tahap daya saing bola sepak remaja negara di pentas antarabangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram