Tak sia-sia ledak 2 gol buat skuad Jang, Luqman Hakim ganti Jordan Mintah barisi 'line up' skuad kebangsaan


  • Podium
  • Selasa, 11 Nov 2025

Luqman Hakim (kanan) dipanggil ke kem skuad kebangsaan bagi menggantikan Jordan Mintah. — Facebook/nsfc

BERITA gembira buat penyokong bola sepak tanah air apabila penyerang muda, Luqman Hakim Shamsudin dilaporkan telah dipanggil menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya.

Perkara itu dikongsikan menerusi hantaran di laman rasmi Facebook milik Malaysia NT yang mengesahkan kemasukan Luqman ke skuad kebangsaan.

Difahamkan, panggilan itu dibuat bagi menggantikan penyerang Kuching City FC, Jordan Mintah yang terpaksa meninggalkan kem atas faktor kesihatan.

BACA LAGI: Status naturalisasi masih undang tanda tanya, 3 bintang 'bersedia' ganti Jordan Mintah

BACA LAGI: Gabriel Peres-Sabah FC berpisah, Sang Badak intai pengganti di benteng pertahanan

“Kemas kini skuad: Luqman Hakim Shamsudin dipanggil menyertai kem latihan berpusat menggantikan Jordan Mintah yang terpaksa meninggalkan kem atas faktor kesihatan,” menurut kenyataan rasmi tersebut.

Penyertaan Luqman dilihat sebagai suntikan semangat baharu buat skuad bimbingan Peter Cklamovski yang kini sedang giat membuat persiapan menjelang saingan Kelayakan Piala Asia 2027 bertemu Nepal pada 18 November nanti. 

Ketajaman bekas pemain kelab Belgium, K.V. Kortrijk itu sememangnya ditagih bagi memperkukuh jentera serangan pasukan kebangsaan.

Untuk rekod, Luqman baru-baru ini tampil cemerlang bersama Negeri Sembilan FC apabila meledak dua gol dalam kemenangan 2-1 menewaskan Timor Leste pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 2 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Kejayaan itu sekali gus menceriakan lebih 2,000 penyokong setia yang hadir menyaksikan aksi berkenaan.

Sebelum ini, Luqman hanya disenaraikan dalam Senarai Bersedia, namun ramai penyokong berharap agar penyerang berketinggian 1.70 meter itu kembali memperagakan aksi di pentas antarabangsa dengan menyarung jersi Harimau Malaya. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram