KELUHAN penyokong Negeri Sembilan FC terhadap masalah fasiliti di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi sebenarnya mendapat perhatian kelab.
Ketua Pegawa Eksekutifnya, Faliq Firdaus berkata pada Isnin, Negeri Sembilan sebagai penyewa utama STAR giat melakukan kerja-kerja tambah baik stadium itu.
Menurut Faliq, kewangan kelab yang semakin baik hasil bantuan penyokong membantu Negeri Sembilan untuk menjalankan usaha membaiki stadium secara berperingkat.
BACA LAGI: Aksi lawan NSFC bukan penentu, TFC belum ada kata putus masa depan Badrul Afzan

Faliq Firdaus.
Usaha itu turut dibantu oleh Majlis Bandaraya Seremban (MBS) yang cakna dengan isu tersebut.
"Hasil daripada kajian saya, tiada usaha tambah baik yang dilakukan di stadium sejak 10 ke 20 tahun yang lepas. Bila penyokong sudah mula membanjiri stadium, kami berjaya sold out sebanyak empat kali dan itu sangat membantu kantung kelab kerana Negeri Sembilan bukan kelab besar.
"Jadi, pendapatan sekitar RM1.5 hingga RM2 juta yang diperoleh daripada jualan tiket semata-mata, ia sangat membantu. Disebabkan itu, kami dapat duduk berbincang dengan MBS dan mereka pun sangat cakna, mereka pun tahu apa yang perlu dilakukan.
"Saya juga diberitahu yang MBS sudah ada peruntukan, cuma mereka akan lakukannya secara berperingkat," jelas Faliq.
Kata Faliq, MBS akan melakukan pelbagai kerja tambah baik seperti mengecat semula stadium serta membaiki fasiliti yang rosak seperti tandas.
Di pihak kelab pula, mereka membina stor menjual barangan rasmi kelab serta mendapatkan penaja bagi papan LED di stadium.
Sebelum ini, terdapat keluhan penyokong yang kecewa dengan kualiti fasiliti di STAR seperti paip rosak serta tandas tidak berada dalam keadaan baik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
