SEKURANG-KURANGNYA enam orang terbunuh manakala lebih 700 lagi cedera selepas satu kejadian puting beliung melanda bandar Rio Bonito do Iguacu, negeri Parana di selatan Brazil pada Jumaat lepas.
Berdasarkan laporan media luar negara, pihak berkuasa Brazil menyifatkan ia sebagai antara bencana cuaca paling ekstrem pernah direkodkan di wilayah itu.
Agensi pemantauan iklim negeri, Simepar dalam laporan terbaharunya mengesahkan taufan tersebut dinaik taraf daripada kategori F2 kepada F3 selepas menilai tahap kemusnahan dan corak cuaca di kawasan terjejas.
BACA LAGI: [VIDEO] Lebih 50 parah letupan masjid di Jakarta Utara, pelajar kerap jadi mangsa buli antara suspek
"Dari segi magnitud, ia sememangnya taufan paling dahsyat yang pernah kami alami di negeri Parana," kata ahli meteorologi Simepar, Lizandro Jacobsen seperti dipetik Bloomberg.
Gambar yang dikeluarkan oleh Pertahanan Awam Parana menunjukkan kemusnahan besar di perbandaran Rio Bonito do Iguacu dengan rumah, kenderaan dan jalan raya rosak teruk akibat hentaman angin kencang.
Ketua agensi Pertahanan Awam negeri itu, Fernando Schunig, turut menggambarkan keadaan di Rio Bonito do Iguacu sebagai 'zon perang', sambil menyifatkan impak taufan tersebut sebagai sangat parah.
"Apabila bencana seperti ini melanda kawasan bandar, tahap kerosakannya amat besar. Ia sangat memusnahkan dan boleh meragut banyak nyawa,” katanya dalam temu bual bersama portal tempatan G1.
Menurut kerajaan negeri, lebih 90 peratus kawasan bandar itu terjejas, manakala pasukan penyelamat sedang giat memulihkan bekalan air dan elektrik kepada ribuan penduduk yang terputus hubungan.
Aerial view of the catastrophic damage from the monster tornado that tore through Rio Bonito do Iguaçu, Paraná, Brazil, yesterday, leaving at least five people dead and over 430 injured.
It looks like a war zone!
Alex Rafael Silvério pic.twitter.com/dtNOqb8G6A
— Volcaholic(@volcaholic1) November 8, 2025
Berdasarkan klasifikasi Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat (NWS), taufan kategori F3 dianggap teruk dengan kelajuan angin dianggarkan antara 254 hingga 331 kilometer sejam.
Fenomena cuaca ekstrem dilaporkan semakin kerap berlaku di selatan Brazil, ia merupakan kawasan yang menjadi pengeluar utama bijirin dan daging negara tersebut.
Malah, beberapa bandar di Parana turut berdepan hujan lebat sejak awal November, menyebabkan pihak berkuasa mengisytiharkan darurat di banyak kawasan.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva memaklumkan bahawa kerajaan pusat telah menghantar sekumpulan menteri dan pasukan bantuan khas ke wilayah terjejas bagi menyelaras operasi kecemasan serta menyalurkan bantuan kepada penduduk.
Quero expressar meu profundo sentimento a todas as famílias que perderam seus entes queridos no tornado em Rio Bonito do Iguaçu e em Guarapuava, no Paraná. E prestar minha solidariedade a todas as pessoas que foram afetadas.
Uma equipe liderada pela ministra Gleisi Hoffmann,…
— Lula (@LulaOficial) November 8, 2025
"Saya ingin menyampaikan ucapan takziah yang paling mendalam kepada semua keluarga yang kehilangan orang tersayang akibat taufan di Rio Bonito do Iguaçu dan Guarapuava.
"Saya turut menyatakan solidariti kepada semua mangsa yang terjejas. Kami akan terus menyokong rakyat Parana dan memastikan segala bentuk bantuan yang diperlukan dapat disalurkan,” katanya.
Menurutnya, pasukan diketuai Menteri Gleisi Hoffmann bersama Kementerian Kesihatan serta Kementerian Integrasi dan Pembangunan Wilayah sedang menuju ke lokasi bencana.
Manakala juruteknik Pertahanan Awam Kebangsaan dan anggota Pasukan Kesihatan Nasional (SUS) turut digerakkan untuk membantu operasi menyelamat dan pemulihan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
